Salah satu respons kepada kenyataan saya semalam mengenai keupayaan
Pakatan Harapan untuk memenangi PRU15 pada tahun 2023 — di mana saya
telah menyatakan keyakinan saya untuk kemenangan ini — yang berbunyi
seperti berikut:
“Bukan, bukan sekarang. Buat masa ini DAP pasti akan musnah. Sila
turun ke peringkat akar umbi sekarang, dengar apa yang rakyat ingin
katakan… dengar pendapat mereka yang dahulunya penyokong DAP… yang kini
jumlahnya dapat dibilang dengan jari… Pemimpin DAP kini sudah menjadi
pekak, buta… dan BODOH.”
Dua minggu yang lepas, saya telah mengatakan di Gelang Patah yang
saya akan kehilangan kerusi Parlimen Iskandar Puteri ini dan DAP akan
kehilangan 30-40 peratus undi dalam negara jika pilihan raya umum
diadakan sekarang.
Perkara ini menunjukkan betapa kritikalnya salah faham dan salah
tanggapan yang dihadapi DAP dan Pakatan Harapan dalam kalangan penyokong
kami.
Kami memerlukan masa untuk membolehkan penyokong kami menyedari yang
DAP tidak pernah mengkhianati mereka dan kami masih komited terhadap
matlamat Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, kebebasan,
keadilan, kecemerlangan, dan integriti.
Jika benar DAP telah mengkhianati rakyat dan harapan dan matlamat
Malaysia Baharu, maka layaklah DAP ditolak oleh rakyat Malaysia dan
tidak akan ada cara untuk DAP mendapatkan semula sokongan rakyat. Malah
sokongan ini hanya akan makin merosot.
Tetapi, jika DAP tidak mengkhianati prinsip kami dan harapan rakyat,
maka masa akan membuktikan kesilapan semua salah tanggapan dan salah
faham mengenai DAP ini.
Setelah berdekad-dekad berjuang, DAP tidak akan sesekali mengkhianati
rakyat ataupun prinsip kami mahupun aspirasi Malaysia Baharu yang
berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, dan integriti ini. Oleh itu,
para pemimpin DAP haruslah mempunyai stamina untuk terus cekal dan
komited terhadap matlamat ini.
Dalam tempoh masa dua bulan kebelakangan ini, melalui kempen berita
palsu dan hasutan besar-besaran, ramai rakyat Malaysia terperangkap di
dalam satu keadaan yang sangat buruk di mana hampir setiap komuniti
hidup dalam ketakutan, syak wasangka, dan kebencian antara satu sama
lain.
Di mana mereka merasakan hak, kaum, budaya, dan agama mereka
menghadapi satu krisis eksistensial.
Bagaimanakah kita sampai ke tahap sebegini? Di mana kaum Melayu kini
merasakan yang mereka telah hilang kuasa politik dan hak, agama, dan
budaya mereka kini terancam.
Sebagai contoh, kerosakan kepada sistem data Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah digunakan untuk
menyebarkan berita palsu mengenai kemasukan tiga juta rakyat China ke
negara ini, sekaligus mengubah demografik negara. Sedangkan berita ini
tidak mempunyai sebarang asas langsung memandangkan proses semakan
imigresen masih dijalankan secara manual dan semua pelawat tertakluk
kepada prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.
Malahan, jika difikirkan logik akal, mustahil untuk tiga juta rakyat
China mendarat di KLIA dalam masa tiga hari kerana perkara ini akan
memerlukan pendaratan lebih daripada 10,000 pesawat setiap hari! Tidak
mungkin perkara ini boleh berlaku tanpa disedari oleh sesiapa.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia Cina takut hilang hak, kaum, dan
budaya mereka. Mujurlah berita palsu yang mengatakan kononnya kerajaan
Pakatan Harapan akan menyekat tarian singa ini disangkal dengan pantas
oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan semalam.
Kerana kekurangan maklumat dan rundingan, legasi kerajaan sebelum ini
dalam memperkenalkan mata pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan
Cina dan Tamil dilihat sebagai satu serangan ke atas sistem pendidikan
Cina dan Tamil oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Dalam masa dua bulan sahaja, melalui berita palsu dan hasutan,
oportunis politik telah memarakkan api perkauman dan sentimen keagamaan
sehingga wujudnya perasan syak wasangka, kebencian, dan ketakutan antara
satu sama lain di negara ini.
Proses pembinaan negara kita terumbang-ambing sepanjang 16 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Sepatutnya kita semua sebagai rakyat Malaysia bertanyakan satu
soalan; jika setiap komuniti, suku kaum etnik, dan budaya menghadapi
ancaman eksistensial, siapakah yang menimbulkan ancaman ini?
Saya percaya kepada satu Malaysia Baharu yang boleh menjadi salah
satu daripada negara terulung di mata dunia dalam semua bidang yang
diceburi manusia, memandangkan empat tamadun hebat dunia — tamadun
Islam, Cina, India, dan Barat — bertembung di negara ini.
Satu kajian Malaysiakini baru-baru ini menunjukkan kira-kira satu
daripada enam rakyat Malaysia tidak tahu apa-apa mengenai budaya dan
agama lain selain daripada budaya dan agama sendiri dan tidak berminat
untuk mengetahui lebih lanjut.
Hampir satu per empat responden mengatakan yang mereka tidak
mengenali budaya atau agama lain tetapi bersedia untuk mengetahui lebih
lanjut dan baki 60 peratus mengatakan mereka agak faham atau sangat
faham mengenai budaya yang lain daripada budaya sendiri.
Bagaimanakah dapat kita menggunakan kajian ini untuk menjadikan Malaysia sebagai negara model Perikatan Peradaban di mata dunia.
Bolehkah kita lakukannya?
Jika kita mempunyai komitmen ini untuk menjadi model Perikatan
Peradaban ini, kita semua perlulah keluar daripada kepompong etnik
masing-masing dan mula berinteraksi dan menghargai nilai-nilai murni
yang ada dalam setiap budaya dan tamadun yang ada di negara ini. Bukan
menjadi mangsa oportunis politik yang hanya bergantung kepada perpecahan
dan sentiasa menghasut kita untuk berasa syak wasangka, benci, dan
takut antara satu sama lain — dengan melagakan agama, budaya, dan kaum
di dalam negara ini.
Ramai yang telah memberikan respons terhadap kenyataan saya dan menggesa saya untuk berputus asa.
Patutkah saya hanya lupakan impian satu Malaysia Baharu dan bersara sahaja?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan