Tatkala
meraikan Hari Kebangsaan ke-62, Tun Dr Mahathir Mohamad amat berharap
rakyat tidak kira agama, bangsa dan budaya mendalami diri masing-masing
serta mencari semangat setiakawan dan kenegaraan yang membantu Malaysia
mencapai kemerdekaan dan membangunkannya sehingga menjadi negara
berjaya.
Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2019 yang disambut esok,
Perdana Menteri berkata Malaysia dibina atas nilai tolak-ansur,
ketinggian budi, hormat menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi,
tidak mementingkan diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan
negara.
Tanpa nilai-nilai itu, Malaysia tidak akan membesar menjadi negara
maju yang berkeupayaan memberi rakyatnya keselesaan dan kemajuan.
“Seharusnya, semakin kita maju dan berjaya, semakin kita sedar betapa
perlunya kita kepada nilai-nilai baik tersebut. Jika nilai-nilai
tersebut yang dipegang oleh ibu bapa dan datuk nenek kita berjaya
membentuk negara ini, sudah pasti ia lebih penting apabila kita mengurus
kemajuan yang tercapai.
“Malangnya, jika kita lihat di sekeliling kita, di dalam kita hanyut
dengan kemajuan komunikasi dan digitalisasi, nilai-nilai yang baik itu
diketepi dan diganti dengan sifat buruk yang jelik dan menjijikkan,”
katanya dalam perutusan yang disiarkan di stesen televisyen dan radio
tempatan malam ini.
Menegaskan bahawa nilai baik berkenaan tidak seharusnya terhenti
apabila negara mencapai kemerdekaan atau kemajuan seperti dinikmati pada
hari ini, Dr Mahathir berkata sifat buruk itu lebih terserlah ketika
berdepan dengan isu sensitif mengenai bangsa dan agama.
Beliau berkata, ketika mempertahankan agama dan kaum masing-masing,
penghinaan dilakukan terhadap kaum dan agama lain sehingga mengguna
kata-kata nista dan kesat, yang pastinya menimbulkan kemarahan dan
keresahan.
“Amat menghairankan kerana jika kita mahu menegak agama dan bangsa
kita, sudah tentu kita perlu memperlihat sifat dan penggunaan bahasa
yang baik dan berbudaya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,”
katanya.
Dr Mahathir turut membangkitkan sama ada rakyat sudah tidak lagi
peduli terhadap masa hadapan negara dalam mempertahankan kepentingan
sempit bangsa dan agama masing-masing.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menyedari betapa besarnya
nikmat yang ada dalam negara ini, dan mencari jalan serta berusaha
sedaya mungkin untuk mempertahankan kemakmuran negara.
Mengimbau sejarah Malaysia, Dr Mahathir berkata seperti negara lain,
ia didirikan dengan keringat dan airmata, pertumpahan darah, kekejaman,
penindasan, penipuan, pengkhianatan dan penghinaan terhadap bangsa serta
negara.
“Mungkin kita perlu lihat betapa negara-negara yang pada satu ketika,
tidak begitu lama dahulu menikmati kekayaan dan kemakmuran yang menjadi
impian negara lain. Hari ini, negara-negara itu musnah dan rakyat
mereka menjadi pelarian di negara lain.
“Kerana itu kita perlu sedar apabila kita menuntut hak atau
kepentingan kelompok kita dan kelompok yang satu lagi tidak mahu
bertolak-ansur, bertimbang rasa atau memberi kemaafan ia boleh membawa
kepada konflik,” katanya.
Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, sambutan Hari
Kebangsaan 2019 akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok dengan acara
kemuncak melibatkan perbarisan dan perarakan serta persembahan formasi
manusia.– BERNAMA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan