Tahun ini genap 62 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah
yang telah menjajah negara selama 446 tahun. Apabila laungan “Merdeka”
dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan Negara Tunku Abdul Rahman, kita
akhirnya berjaya bebas untuk mentadbir, mengurus, dan memajukan negara
sendiri tanpa campur tangan kuasa asing.
Walaupun negara secara zahirnya bebas daripada penjajah lebih 6
dekad, namun negara masih lagi dibelenggu oleh tembok perkauman yang
dibawa oleh pihak-pihak tertentu. Mereka saban hari memainkan isu-isu
perkauman demi memenuhi kepentingan mereka dan juga kelangsungan
survival politik mereka. Sudah pasti, politik sebegini berlawanan dengan
aspirasi negara ini yang diasaskan hasil daripada perpaduan yang
dicapai daripada pelbagai kaum, bangsa, dan agama.
Tanpa kita sedari, tembok perkauman yang sedang giat dibina ini mampu
membawa negara yang kita cintai ini ke lembah kehancuran. Apabila
tembok perkauman ini semakin menebal, maka rakyat yang berbilang kaum
dan agama tidak lagi boleh bertolerasi dan menghormati antara satu sama
lain.
Inilah yang berlaku di negara-negara lain seperti di Nigeria,
Ethiopia, Mali, Sudan, Sri Lanka, dan banyak lagi negara yang mempunyai
penduduk pelbagai etnik dan agama. Tembok perkauman yang dibina ini
akhirnya mengakibatkan berlakunya konflik etnik yang meruncing sehingga
berlakunya perang saudara yang mengakibatkan ribuan orang awam
terkorban.
Marilah kita bersatu padu meruntuhkan tembok perkauman ini dan
mengukuhkan semula perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia ini. Kita
perlu menolak usaha-usaha pihak tertentu yang terus memainkan agenda
perkauman demi kelangsungan dan kepentingan politik mereka.
Marilah bersama-sama kita menghayati contoh tauladan yang terbaik
iaitu Nabi Muhammad S.A.W sebagai ikon perpaduan apabila baginda berjaya
mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj apabila baginda berhijrah ke
Madinah. Inilah konsep Islam Rahmatan lil Alamin yang dibawa oleh
kerajaan pada hari ini iaitu Islam menganjurkan perpaduan dan kasih
sayang tidak kira kaum atau etnik dan bukannya membawa agenda perkauman
yang mampu memecah-belahkan negara.
Perlembagaan negara yang menggariskan hak setiap warganegara dan kaum
di negara ini harus dijunjung sebagai satu sosial kontrak rakyat
pelbagai kaum. Kini adalah masa rakyat bersatu padu menjiwai kemerdekaan
sebenar dengan menumpukan agenda lebih besar memajukan negara ini
berdasarkan konsep kemakmuran bersama (shared prosperity).
Kerajaan hari ini memberikan komitmen tertinggi menyelesaikan hutang
negara dan isu rakyat. Kestabilan politik dan perpaduan rakyat mengatasi
tembok perkauman akan menarik minat pelaburan asing yang kini mencecah
RM667.5 bilion bagi suku kedua tahun ini yang merupakan 10 % peningkatan
dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Raikan kemerdekaan dengan mengangkat politik nilai dan menolak
politik identiti. Sayangi Malaysiaku dengan menumpukan agenda perubahan
dan bersama memecahkan tembok perkauman supaya Malaysia Bersih dapat
dibina untuk kemakmuran bersama seluruh rakyat negara ini.
Inilah kemerdekaan sebenar yang perlu dicapai sepertimana yang
disebut tokoh terkenal Mahatma Gandhi “Complete independence will be
complete to the extent of our approach in practice to the truth and non
violence.”
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
* Faiz Fadzil merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH dan Adun Permatang Pasir
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan