Oleh Dr Xavier Jayakumar
LAPORAN
US News & World Report baru-baru ini yang menyatakan Vietnam
sebagai lebih menarik berbanding Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam
memikat pelaburan asing, bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Vietnam tidak lagi ‘terkebelakang’ di Asia Tenggara. Ia mempunyai
ekonomi yang subur, asas mantap serta mula mengukuh susulan perang
perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Rakyatnya cukup
berdaya tahan, pandai mencari peluang dan sangat rajin. Mereka jelas
bermaruah selepas mengalahkan Perancis dan AS dalam peperangan.
Namun ‘medan perang’ terbaru Vietnam cukup mencabar dalam ekonomi.
Negara ini tidak lagi bergerak secara kecil, sebaliknya mengambil
langkah besar dan ia tidak bersendirian. Sebagai jiran dan pesaing,
Malaysia perlu berbuat sesuatu agar tidak ketinggalan dalam perlumbaan
ekonomi.
Walaupun Malaysia terus menikmati asas kukuh, bahaya
semakin menjengah dalam suasana ekonomi yang mendatang, mengecewakan ia
didorong kecenderungan rasuah berlebihan regim terdahulu. Hutang negara
masih pada paras RM1 trilion. Orang ramai mengadu kenaikan kos sara
hidup, manakala banyak perniagaan berdepan permintaan yang lembap.
Pada Januari 2019, Bank Dunia mengeluarkan laporan, antara lain
menyatakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar
Malaysia dianggar perlahan kepada 4.7 peratus pada 2018 berbanding 5.9
peratus pada 2017, malah diramal menyusut kepada 4.6 peratus pada 2020.
Sebagai kerajaan, kita tidak boleh menutup mata melihat petunjuk itu.
Kita juga tidak boleh terus-menerus menyalahkan kerajaan terdahulu.
Ini adalah sebahagian sebab mengapa kerajaan memulakan satu siri
inisiatif pengurangan kos dan penjanaan pendapatan untuk membantu
melonjak ekonomi. Melalui dana pelaburan negara seperti Khazanah
Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), kerajaan mula
melupuskan kepentingan dalam pegangan perniagaan yang tidak strategik.
Keputusan dibuat selepas pertimbangan wajar dilakukan, mengambil kira
kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Ini tiada kena mengena dengan
‘menjual negara’ seperti didakwa pihak tertentu yang mana mereka sendiri
pada awalnya menimbulkan kekacauan kepada ekonomi.
Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) sedang mencari jalan untuk menutup semula ‘lubang’
ekonomi yang teruk ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak dan mereka yang
seumpama dengannya. Baru-baru ini, penyedia indeks global, FTSE Russell
berkata, tahap kebolehcapaian Malaysia berisiko untuk menjunam sehingga
paras bawah rangka kerja pengelasan globalnya.
Mereka menyatakan
saham Malaysia kurang baik kerana ‘tidak ada apa yang boleh dikatakan
positif selama 12 bulan akan datang’. Malah Penasihat Institut
Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Jomo Kwame Sundaram, dengan jelas
menyebut ekonomi Malaysia semakin merosot setiap hari.
Kerajaan
PH tidak mempunyai kelebihan dari segi masa atau laluan populis untuk
disusuri demi keuntungan politik jangka pendek. Ekonomi kini memerlukan
penyelamatan dan kami akan lakukan apa yang diperlukan untuk
menyelamatkan keadaan, malah sentiasa ke hadapan dalam mendepani cabaran
ekonomi global yang menghadapi serangan Revolusi Industri Keempat (IR
4.0).
Hakikatnya, kita tidak mampu dipintas ekonomi yang baru
muncul seperti Vietnam. Kita perlu mendahului supaya semua orang dapat
menikmati hasil perkongsian kemakmuran secara bersama.
Sudah
sampai masanya pimpinan PH mengetepikan kepentingan peribadi dan
menumpukan perhatian kepada keperluan rakyat - kerana itulah sebab utama
mereka bangkit menolak Barisan Nasional (BN).
Masa mungkin tidak
lagi di pihak kita, tetapi yang pasti belum terlambat. Jika semua
pemimpin bertindak bersama dengan memberi penumpuan kepada pembinaan
negara dan bukannya isu tidak bermanfaat, saya pasti kita boleh membina
dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Ekonomi adalah sesuatu
yang sangat dekat di hati majoriti rakyat dan setiap orang mahu
menikmati pekerjaan serta gaji yang baik. Saya tidak percaya sesiapa
antara mereka berminat dengan perselisihan peribadi dalam kalangan
pemimpin tertentu. Semua rakyat mahu masa depan yang baik untuk mereka
dan anak-anak.
Dengan pelabur asing yang semakin meminggir
susulan senario politik tidak menentu, peluang untuk memperbaiki
kedudukan ekonomi agak tipis. Kita perlu dapatkan semula keyakinan
dikehendaki pelabur, bukannya menumpukan isu kecil yang bersifat
peribadi.
Pada suatu ketika, Malaysia menjadi tumpuan pelabur
untuk pengembangan bisnes di rantau ini, namun sekarang kita jatuh ke
belakang berbanding negara jiran. Malaysia menjadi pilihan utama kerana
kadar celik huruf tinggi dan keupayaan rakyat berbahasa Inggeris, namun
hari ini orang di sekeliling tidak lagi berminat.
Saya amat
bimbang kerana komitmen pemimpin berdedikasi sahaja tidak dapat
mengarahkan kapal keluar dari perairan bergelora - kita memerlukan
seluruh anak kapal dan komitmen kuat daripada ‘kapten’.
Kabinet
perlu segera tampil dengan pelan tindakan kukuh untuk memulihkan ekonomi
negara dan menarik pelabur kembali ke negara ini. Saya yakin
pentadbiran PH pasti mampu mencapai perkara ini dan ia perlulah
dilakukan sekarang sebelum terlambat, demi rakyat.
Penulis adalah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan