Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow
SUDAH
sampai masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai sebuah
pertubuhan dunia mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan
drastik terhadap peranan serta pengurusan yang dimainkan olehnya supaya
ia lebih adil dan saksama untuk semua pihak.
Dengan munculnya
banyak konflik kemanusiaan berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan
PBB seperti peperangan yang berlaku di bumi Syria, kesengsaraan dihadapi
masyarakat Palestin, tragedi pembunuhan puak Rohingya di Myanmar, ramai
pihak menganggap PBB tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan
oleh mereka sejak ditubuhkan pada 1945.
PBB ditubuhkan 74 tahun
lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939-1945) yang menyaksikan
jutaan kematian manusia di negara yang terbabit dengan peperangan itu.
Pada asalnya, PBB dianggotai 51 negara, kini sudah menjangkau 193
negara anggota. Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin
hubungan kerjasama sesama negara-negara dunia serta mengekalkan suasana
aman, harmoni dan adil di antara semua negara dunia.
Namun,
matlamat ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya PBB gagal
melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan
berkenaan kekal relevan serta efektif di mata dunia.
Antara
faktor utama menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ia
dilihat masih didominasi oleh kuasa besar dunia seperti Amerika
Syarikat (AS), Russia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja
PBB didominasi oleh kelima-lima kuasa dunia ini, malah PBB turut memberi
mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB itu
sendiri.
Antara kuasa yang diberikan kepada lima negara ini ialah
kuasa veto. Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto yang
dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf
resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan
berkenaan.
Kuasa veto yang dimiliki lima negara anggota tetap
Majlis Keselamatan terbabit sudah pun wujud sejak penubuhan PBB setelah
tamat Perang Dunia Kedua. Walaupun tiada peruntukkan khusus mengenai
kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945 itu sendiri,
jika dianalisis dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada
menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh pihak Majlis
Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima
negara anggota tetap Majlis Keselamatan itu.
Ini sekali gus boleh
ditafsirkan sebagai pemberian kuasa khas veto kepada kelima-lima negara
berkenaan. Penggunaan kuasa veto yang dimiliki itu banyak mengundang
perasaan tidak puas hati banyak negara anggota PBB sendiri.
Kuasa
veto yang diberikan kepada lima negara berkenaan sering disalah guna
mengikut kepentingan politik kelima-lima negara berkenaan. Antara yang
teruk menerima impak akibat salah guna kuasa veto terbabit ialah
masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman rejim Israel sejak
penubuhan negara Israel pada 1948.
Banyak resolusi dikeluarkan
PBB yang menentang Israel, diveto oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika
Syarikat. Akibatnya, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih
melakukan siri-siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin.
Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia apabila
pada 2015, pihak Russia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis
Keselamatan PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori
Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi
menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian
menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di
Wilayah Timur Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 43
orang warga Malaysia.
Penggunaan kuasa veto itu memang sudah
banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara anggota PBB sendiri.
Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa
apa-apa makna di mata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak
asasi manusia.
Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil
langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal
relevan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta
pengaruh daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.
Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu
ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya
tiada lagi peruntukan khas diberikan pada mana-mana negara anggota
tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain
dalam PBB itu sendiri.
Sudah sampai masanya juga, semua negara
anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan
kepada mana-mana negara anggota tertentu. Sekiranya tiada langkah berani
diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan,
PBB sudah pasti akan rebah seperti yang berlaku terhadap pertubuhan
antarabangsa sebelum wujudnya PBB iaitu Liga Bangsa-Bangsa (League of
Nations) lebih 80 tahun lalu.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan