Oleh Johari Ibrahim
PADA masa ini ramai yang bersetuju bahawa teknologi internet yang
terus berkembang mengubah banyak perkara terutama dalam sektor
perniagaan dan media massa.
Teknologi yang amat pantas berkembang
itu memberi kesan yang begitu besar kepada gelagat perdagangan dan
penyebaran maklumat di negara ini sejak Agenda Teknologi Maklumat
Kebangsaan (NITA) dilancarkan ketika Rancangan Malaysia Ketujuh.
Tidak dapat dinafikan Malaysia ketika itu, seperti banyak negara lain di
dunia, terpaksa mengikut arus perkembangan teknologi maklumat (IT)
khususnya bagi menggantikan ekonomi berasaskan pengeluaran (p-ekonomi)
kepada yang berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).
Dalam teori
k-ekonomi, secara asasnya, pengetahuan diakui sebagai faktor utama bagi
melestarikan pertumbuhan ekonomi selain tanah, buruh dan modal fizikal.
Ia pandangan jauh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad,
bagi menyediakan negara mengambil bahagian dan merebut peluang dalam
perdagangan elektronik (e-dagang), yang mana buktinya kita lihat hari
ini.
Konsep penting kepada bidang IT ini ialah ‘pengetahuan’ yang
mana ia menunjukkan kaitan rapat dengan maklumat. Maklumat adalah aset
jika ikut teori k-ekonomi itu. Persoalannya maklumat yang bagaimana yang
benar-benar membawa faedah kepada masyarakat?
Pada hari ini,
akibat terlalu pesat berkembang, maklumat yang diperoleh menerusi IT
semakin membuat masyarakat keliru dan celaru.
Ini diburukkan
dengan kemunculan media untuk bersosial seperti Facebook, Twitter dan
Instagram, yang kemudian menjadi tempat luahan emosi, menyebabkan
‘pengetahuan’ itu bercampur baur antara fakta dan auta.
Fenomena
ini memberi kesan dan saingan hebat kepada media massa konvensional,
yang masih diusahakan oleh syarikat media arus perdana di negara ini.
Ramai anggota masyarakat yang keliru di antara kewartawanan sebenar yang
diamalkan oleh pemberita di akhbar arus perdana dan ‘wartawan segera’
di media sosial termasuk sesetengah blogger.
Saya pernah ditanya
adakah blogger yang tidak ada asas latihan kewartawanan juga seorang
wartawan, maka segala penulisannya dianggap berwibawa seperti berita
arus perdana. Ini adalah antara kesan kecelaruan masyarakat dalam
menilai berita media arus perdana dan ‘pengetahuan’ dalam media sosial.
Jawapannya sudah tentu tidak. Salah satu yang ketara ialah ketika
pengamal media konvensional masih mengekalkan aspek terpenting iaitu
‘ketepatan’, ia hampir tidak ada dalam penulisan dalam media sosial.
Dalam media arus perdana, wartawan kadang-kadang terpaksa mengambil
masa seharian hanya untuk mengesahkan berita yang hanya beberapa
perenggan sebelum disiarkan walaupun maklumat yang diperoleh kononnya
‘amat meyakinkan’ disebarkan pihak tertentu dalam media sosial.
Justeru, pandangan Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana
Menteri, Datuk A Kadir Jasin, bahawa media arus perdana akan kekal
sebagai sumber maklumat sahih adalah gambaran sebenar kepada situasi
ini.
Proses penghasilan berita yang ketat yang tidak pernah
dikompromi oleh media arus perdana memberi jaminan ketepatan dan
kewibawaan maklumat.
Ini boleh diberi jaminan berbanding proses,
jika ada, di pihak penulis media sosial yang saya yakin tidak pun
melakukan apa-apa pemeriksaan sama ada ia auta atau fakta dan lebih
buruk jika ia disebarkan berasaskan emosi.
Sebab itu, dalam
kelam-kabut masyarakat menentusahkan sesuatu maklumat, yang biasanya
disebarkan di media sosial, akhbar arus perdana juga yang dijadikan
rujukan akhir.
Penulis juga menerima banyak pertanyaan daripada
rakan yang menerima hantaran tertentu mengenai isu semasa negara. Soalan
lazim ialah ‘betulkah ini?’ - sekadar membuktikan masyarakat juga
was-was untuk mempercayai banyak sebaran media sosial.
Persoalannya, berapa ramai antara kita yang mahu bertanya begitu? Lebih
ramai yang bertanya begitu adalah lebih baik untuk negara dan
masyarakat.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan