Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA
Isu
media dan perkauman di negara ini dalam kaitan dengan perpaduan adalah
sesuatu agak rumit dan sensitif. Ini kerana sosialisasi media di negara
ini tidak berdiri sendiri, ia terangkum dalam sosialisasi politik yang
dihadapi oleh setiap kaum sejak kita mencapai kemerdekaan.
Terdapat elemen-elemen sosialisasi lain yang membentuk hubungan media
yang bersifat perkauman yang kekadang boleh membawa kepada sifat
melampau. Elemen-elemen seperti proses sejarah, Pendidikan (sekolah
jenis kebangsaan), parti-parti politik dan persatuan-persatuan
berasaskan perkauman dan budaya yang amat kukuh mencengkam budaya
politik setiap kaum di negara ini.
Akhirnya, lahirlah media mewakili setiap kaum yang memperjuangkan
kepentingan masing-masing.
Hal ini ditambahkan lagi dengan kehadiran
media baharu iaitu media sosial dengan maklumat yang boleh diperolehi
melalui hujung jari menjadikannya semakin kompleks.
Kelahiran media sosial dan media online yang memberikan senjata
kebebasan penyebaran fitnah, berita palsu dan manipulasi yang juga tidak
terlepas daripada sosialisasi politik.
Sosialisasi politik perkauman melahirkan sentimen perkauman yang
tinggi dan ia terpancar dalam isu-isu perkauman di negara ini. Media
massa merupakan agen penting sosialisasi politik. Sebagai contohnya
orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak memiliki
beberapa akhbar dan media yang mewakili dalam masing-masing kaum dan
etnik.
Maka adalah tidak mustahil liputan-liputan berita berbau perkauman
akan mempengaruhi pemikiran dan persepsi masyarakat, terutama isu-isu
ketidakpuasan dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang
Melayu. Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan
semangat dan sentimen kaum.
Inilah yang membawa teguran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
baru-baru ini yang merayu agar media lebih bertanggungjawab dan tidak
menghasilkan laporan yang boleh memburukkan lagi keadaan perkauman di
negara ini.
Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, memang
wujud tindakan segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen
perkauman di negara ini, namun media juga harus memainkan peranan dalam
memastikan perkara itu tidak berlarutan.
“Kita dapati ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum, soal
agama, perbezaan macam-macam lagi, (tetapi) benda ini semua boleh
diselesaikan oleh kerajaan dalam Kabinet.
“Tetapi oleh kerana banyak laporan (media) yang menimbul kemarahan,
maka isu yang kecil menjadi besar, dan dia memisahkan kaum di negara
kita,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini.
Bayangkan bagaimana mudahnya jika sesuatu insiden terpencil boleh
mencetuskan kejadian besar oleh masyarakat di negara ini menerusi
penyebaran meluas menerusi media sosial. Contohnya isu membangunkan
produk Muslim disalah tafsir oleh seorang Menteri PH sebagai “boikot”
dan sentiment ini ditularkan dalam media sosial.
Bagaimana kejadian yang membabitkan contohnya pergaduhan antara dua
kumpulan atau beberapa individu dalam kejadian kemalangan atau
pergaduhan kejiranan boleh diikuti serta-merta oleh warga Interet
menerusi berikutan tindakan pelbagai pihak memuat turunkan video
pergaduhan itu di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.
Dua contoh di atas akan membawa kepada kenyataan berunsur fitnah,
caci mencari, hasut menghasut yang mengapi-apikan kaum yang lain.
Jika tidak terkawal dan dibiarkan begitu saja mampu mencetuskan satu
pergaduhan besar di seluruh negara ini. Pendekatan ‘pengurusan krisis’
oleh pihak berkuasa amat diperlukan jika tidak mahu perkara ini terus
merebak ke seluruh negara apatah lagi ia dibesar-besarkan sebagai satu
pertembungan kaum.
Ia amat menakutkan jika lebih ramai yang mula mengadu-dombakan
kejadian terpencil ini. Isu Zakir Naik misalnya jika tidak diuruskan
dengan baik akan mencetuskan isu rusuhan kaum dan agama.
Ahli politik juga tidak seharusnya menghangatkan situasi negara dalam
berhadapan dengan cabaran isu perkauman dan agama. Mereka tidak
seharusnya turut mempermainkan isu-isu perkauman yang tidak sihat.
Ahli politik kita seperti masih tiada kematangan berpolitik dalam
membuat kenyataan-kenyataan sensitif dan mereka harus berfikir sebelum
mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat ulasan. Jangan sekadar
mementingkan populariti dan ingin sentiasa disanjung pengikut dan
pengundi mereka sanggup membuat kenyataan berapi tanpa memikirkan
kesannya seperti dalam peribahasa Melayu “Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya.”
Bahkan para wartawan tidak seharusnya terlalu menanyakan isu-isu
sensitif dengan hasrat melahirkan jualan media, lebih ramai pengunjung
ke media online mereka dan kemasukan banyak iklan. Ada masanya pihak
media juga harus memikirkan kesejahteraan negara daripada kepentingan
terbatas yang boleh membawa kepada pengsengketaan.
Isu-isu menyentuh 3-R iaitu perkauman, agama dan institusi diRaja di
media sosial kini begtu berleluasa terutamanya sejak kemenangan PH
kerana ramai warga Internet atau netizen menjadi kera mendapat bunga
yang mengambil kesempatan daripada kebebasan ini untuk mengirim mesej
dan visual mengikut nafsu dengan harapan ia boleh memperjuangkan
kepentingan kaum masing-masing.
Jika maklumat yang sensitif ditular dan menjadi kepercayaan, adalah
sangat bahaya jika sesuatu berunsur fitnah diyakini sebagai kebenaran.
Saya amat bimbang isu-isu sensitif kaum jika ikut nafsu dan emosi dan
jika tidak dikawal akan menjurus kepada fasisme bangsa, ketuanan
sesuatu bangsa ke atas kaum-kaum lain. Ini tentunya sesuatu yang perlu
dihindari. Oleh itu editor-editor media dan mereka yang menghantar mesej
di medai sosial harus sedar dan aktif mengetahui bahawa sebarang mesej
atau berita yang disiarkan jika tidak kawal boleh membawa kepada
implikasi yang menjejaskan kestabilan negara.
Kita tentu tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi!
* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan