Oleh Lim Kit Siang
Kejadian malang dan menyedihkan di
Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta — di mana tiga rakyat
Malaysia telah tercedera selepas peminat bola sepak Malaysia dibaling
dengan objek logam dan botol air dan gas pemedih mata selepas Harimau
Malaya menjaringkan gol kemenangan terhadap Indonesia dalam Perlawanan
Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia Zon Asia — dapat memberikan kita
pengajaran penting tentang identiti nasional Malaysia.
Pengajaran ini amat berguna dan tepat
pada masanya kerana sejak dua bulan lalu, media sosial Malaysia
dikuasai oleh berita palsu dan ucapan kebencian yang melaga-lagakan kaum
dengan kaum dan agama dengan agama, malah membangkitkan prasangka
antara kaum dan agama, rasa sangsi, permusuhan, ketakutan dan kebencian
bagi mewujudkan fobia bahawa setiap etnik kononnya berdepan krisis
eksistensial budaya dan pegangannya.
Ia merupakan suatu peringatan bahawa
orang Melayu, Cina dan India di Malaysia, yang merupakan anak watan
Malaysia, mempunyai banyak persamaan antara satu sama lain berbanding
orang Indonesia di Indonesia, orang Cina di China dan orang India di
India.
Adalah suatu tindakan yang tidak
bertanggungjawab dan bersifat jahat untuk sesuatu pihak cuba menuduh
bahawa kononnya orang India di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri
India Narendra Modi daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu juga
dengan dakwaan bahawa orang Melayu kononnya menganggap Joko Widodo atau
Jokowi sebagai Presiden mereka atau orang Cina di Malaysia menganggap Xi
Jinping sebagai Presiden mereka sedangkan semua rakyat Malaysia taat
dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong, sistem monarki berpelembagaan
dan Perlembagaan Persekutuan.
Saya masih ingat pertemuan dengan Dr
Mahathir Mohamad pada September tahun lalu, di mana beliau terkenang
mengenai lawatan kerja pertamanya ke China sebagai Perdana Menteri
kerajaan Pakatan Harapan pada bulan sebelumnya, di mana terdapat ramai
rakyat Malaysia bertemu dengan beliau dalam satu perjumpaan di Beijing,
termasuklah mereka yang telah menetap di negara China selama lebih
daripada 10 tahun.
Saya menyatakan kepada beliau bahawa
orang Cina Malaysia ini bukan orang Cina China dan walaupun mereka telah
bekerja di China untuk tempoh 10 atau 20 tahun, jiwa dan hati mereka
tetap pada Malaysia, kerana mereka tetap menjadi rakyat Malaysia,
menganggap Malaysia adalah rumah mereka, dan bukannya China.
Pun begitu, sejak dua bulan yang
lalu, media sosial memberikan gambaran yang salah tentang Malaysia,
kononnya negara ini kini diambang perpecahan kaum dan agama, dengan
berita palsu dan ucapan kebencian disebarkan secara meluas menjadi-jadi
untuk mengipas bara api perkauman dan keagamaan dengan membuatkan setiap
etnik membenci etnik lain hanya kerana khabar-khabar angin palsu yang
tidak berasas bahawa mereka kononnya berdepan krisis eksistensial —
sedangkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi menyerlahkan suasana
yang sebaliknya di mana rakyat pelbagai kaum kekal hidup dengan semangat
muhibah, persefahaman, toleransi dan harmoni.
Tetapi, jika racun berita palsu dan
ucapan kebencian ini tidak ditangani, kehidupan realiti Malaysia akan
turut teracun dan terikut-ikut dengan suasana “media sosial Malaysia”
yang toksik, menjerumuskan negara ke dalam lembah perpecahan antara kaum
dan agama.
Kabinet harus diberikan pujian atas
usaha mereka menolak agenda gerakan boikot barangan keluaran orang bukan
Islam dan mengajak semua rakyat menyokong barangan buatan Malaysia.
Kita tidak harus termakan umpan pihak
yang mahu melihat Malaysia berpecah, yang mencari-cari jalan untuk
menghasut rakyat Malaysia supaya berpecah-belah.
Ini sebabnya mengapa rakyat Malaysia
harus berusaha untuk mencapai perpaduan, kesefahaman dan keharmonian di
kalangan rakyat Malaysia dan meninggalkan permusuhan dan perpecahan
antara kita.
Mereka yang menyokong bahawa orang
Islam harus undi dan sokong pemimpin Islam sahaja, meskipun mereka korup
bukan sahaja menentang ajaran Islam, malah melakukan perkara yang
bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan lima prinsip Rukun Negara
khususnya “Kedaulatan Undang-undang” serta “Kesopanan dan Kesusilaan”.
Justeru itu, adalah menjadi
kebimbangan apabila terdapat pengumuman beberapa hari yang lalu yang
berlawanan dengan penekanan terhadap perpaduan nasional, sebaliknya
berpotensi mewujudkan perpecahan yang lebih besar, yang mana perlu
dipertimbangkan semula.
Saya bersetuju bahawa perbuatan
berdoa bersama penganut berlainan agama di atas satu pentas yang sama
bukanlah satu cubaan untuk mencapur-adukkan agama. Sebaliknya, perbuatan
ini adalah untuk mencari semangat solidariti dan persaudaraan sesama
manusia atas nama cinta, belas kasihan dan keadilan bersama.
Baru-baru ini, masyarakat pelbagai
agama di Malaysia bersama-sama berdoa bagi memperingati tragedi MH370
dan MH17, dan tragedi serangan keganasan di New Zealand dan Sri Lanka.
Sebagai sebuah negara yang menjadi
tempat tertumpunya empat tamadun agung dunia – Melayu/Islam, Cina, India
dan Barat – kita haruslah memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada
setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia —
yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan
Perikatan Peradaban.
Yang di-Pertuan Agong dan Sultan
Perak serta Sultan Selangor dalam titahnya menekankan kepentingan
perpaduan nasional dan risiko penyebaran berita palsu dan ucapan
kebencian.
Marilah semua rakyat Malaysia
mempertahankan perpaduan nasional dan mengutuk penyebaran berita palsu
dan ucapan kebencian yang direka untuk mewujudkan prasangka, rasa
curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian antara kaum dan agama
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan