Setelah
lebih setahun menerajui sektor pendidikan asas hingga pendidikan tinggi,
pada pandangan YB adakah sistem pendidikan kita mempunyai hala tuju
yang jelas?
MASZLEE: Sistem pendidikan
kita terikat kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPK). FPK ini yang
menentukan hala tuju pendidikan kita. Menteri silih berganti, kerajaan
bertukar, atau walau apapun dasar yang dibawa, ia terikat kepada FPK.
Itu akan menunjukkan sistem pendidikan kita akan sentiasa terarah. Cuma
yang berbeza dari semasa ke semasa, apakah pencapaiannya? Apakah
pembangunan yang ingin kita bawa kepada pendidikan. Hari ini kita
berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0. Persoalannya, adakah kita telah
berjaya mempersiapkan generasi kita untuk berhadapan dengan 20, 30
tahun lagi yang mana banyak pekerjaan pada waktu itu belum lagi dicipta?
Dan banyak pekerjaan yang wujud pada hari ini takkan ada lagi pada
waktu itu.
Adakah kita telah menjadikan
anak-anak murid kita sebagai kalis masa depan? Apa pun perubahan
berlaku, apa pun teknologi tercipta, apa pun perubahan kepada industri
pekerjaan, anak-anak murid kita boleh menghadapinya? Kita akan rombak
kurikulum melalui Jawatankuasa Kajian Dasar yang kita bentuk dan
Pendidikan Sivik adalah sebahagian daripadanya. Bagi pihak Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, beliau mahu tekankan tiga -
penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik kerana teknologi
memerlukan pengetahuan Sains dan Matematik yang mendalam. Revolusi
Industri 4.0 juga sangat berkait dengan pengetahuan Sains dan Matematik.
Kita mempergiatkan usaha kesedaran sains dan kita ingin mewujudkan
mentaliti saintifik dalam kalangan rakyat Malaysia. Inilah cabarannya
tetapi kita akan cuba memastikan ia berjalan lancar.
Ketiga,
teknologi ini semua, bahasanya dalam bahasa Inggeris. Itu bahasa
global. Bahasa teknologi adalah bahasa Inggeris. Jadi kita kena pastikan
rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan tidak mengetepikan bahasa
kebangsaan. Sebab itu, kita lihat banyak perkara yang kita lakukan untuk
mengangkat bahasa kebangsaan. Hari ini sasterawan semua ditempatkan di
universiti-universiti, tak pernah berlaku sebelum ini. Kita akan
menerapkan di peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah, setiap
anak-anak murid ini akan didedahkan dengan puisi-puisi sasterawan kita
yang akan mereka hafal. Begitu juga, bagi sasterawan-sasterawan ini,
sekarang diberikan elaun. Kempen-kempen sastera dan bahasa ini dilakukan
lebih kerap dan melalui gerakan membaca kita, kita menyasarkan
buku-buku kita dipasarkan ke luar negara. Sebab itu, penglibatan kita
baru-baru ini dengan Beijing, Pesta Buku Antarabangsa Beijing dan
Oktober ini Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt.
Apa jalan tengah yang perlu diambil untuk mengatasi sensitiviti pejuang bahasa terhadap bahasa Inggeris?
Pertamanya,
kita lihat bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah PPSMI, kita telah melalui zaman itu.
Yang ke depan ini kita melihat ada beberapa perkara. Kita berhadapan
dengan RI4.0. Ada robotik, ada Internet of Thing, pengkomputeran awan
dan adanya pelbagai teknologi yang akan menentukan masa depan kita.
Kalau kita tidak bersaing kita ketinggalan. Demi menghadapi 20 atau 30
tahun lagi dalam industri pekerjaan, jadi saya terpaksa mengambil
tindakan yang mungkin tidak popular demi masa depan mereka. Dan kita
tahu bahawa Revolusi Industri 4.0 ini, dari segi pengekodan, robotik dan
sebagainya bahasanya adalah bahasa Inggeris. Jadi, kita perlu
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama tidak
boleh menggadaikan bahasa Melayu.
Sebab
itu, membawa kembali sasterawan-sasterawan kita ke sekolah dan
universiti adalah sebahagian usaha untuk memastikan bahawa bahasa
tempatan tidak akan tergadai. Yang paling penting bagi saya, penghayatan
terhadap bahasa Melayu. Dalam kes ini, saya sentiasa memperkenalkan
karya-karya bangsawan dari semasa ke semasa dalam media sosial saya. Dan
ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan bahawa sastera Melayu
akan terus berkembang dan memastikan pejuang bahasa sentiasa bersama
dengan kita untuk mengangkat martabat bahasa tetapi kita juga ada
tanggungjawab lain untuk memastikan anak-anak bangsa kita tidak
ketinggalan 20, 30 tahun lagi ke depan.
Sebab
itu pada saya, adalah amat penting usaha memastikan anak-anak bangsa
kita tidak akan tercicir dalam tempoh 20, 30 tahun lagi. Jadi ini memang
berlaku jika kita lihat dalam perbincangan saya dengan ramai tokoh
korporat. Mereka sendiri menyuarakan kerisauan jika kita tidak menguasai
bahasa teknologi iaitu bahasa Inggeris, negara kita akan ketinggalan.
Hatta yang bukan Melayu pun mengatakan, awak perlu buat sesuatu untuk
orang Melayu (you better do something for the Malays). Jika tidak anak
bangsa awak akan ketinggalan. Itu yang pada saya, saya akan melakukan
yang terbaik untuk memastikan anak-anak bangsa kita tidak akan
ketinggalan dan maju dalam pembangunan negara.
Mengapa tidak contohi negara seperti Jepun yang mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka?
Kita
perlu mengetahui bahawa Jepun hari ini juga ramai sudah menyedari
bahawa mereka perlu menguasai bahasa Inggeris. Society 5.0 (dasar
transformasi sosial Jepun) itu mereka perlu kuasai bahasa Inggeris. Hari
ini kita lihat bagaimana Jepun sendiri terpaksa bersaing dengan
teknologi yang ada. Seperti mana yang saya sentuhkan tadi, saya ingin
pastikan bahawa anak-anak bangsa kita tidak ketinggalan dalam sektor
perniagaan, sektor teknologi dan juga pembangunan negara. Kita tahu
bahawa RI4.0 ini sesuatu yang berlaku, dunia akan dipenuhi dengan
pengekodan, pengkomputeran awan, Internet of Thing dan ini semua
malangnya dalam bahasa Inggeris. Kalau kita boleh dapatkan dalam bahasa
Melayu ataupun bahasa lain tak apa tapi tidak. Kita belum di tahap itu
lagi. Sekarang ini kita perlu seimbang, mempertahankan daulat bahasa
Melayu ini. Kita pastikan anak-anak kita tidak akan melupakan asal-usul
kita tetapi kita kena memastikan mereka juga menguasai teknologi dalam
bahasa kita.
Bagaimana menggembleng tenaga keluarga Kementerian Pendidikan (KPM) yang besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara?
Seperti
Perdana Menteri menyebut, memang betul keluarga KPM paling besar
diibaratkan seperti sebuah negara. Daripada tadika, pra sekolah, sekolah
rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, matrikulasi, IPG,
universiti, kolej swasta bermaksud dari budak 5 tahun sehinggalah
profesor itulah KPM. Apabila kita berbicara isu kualiti, kita tidak
boleh niat berpisah-pisah. Selama ini kita lihat ada dua kementerian,
Kementerian Pendidikan Dasar dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Maka di
sinilah timbul isunya kerana isu keselarian tidak berlaku. Kedua, isu
kualiti itu akan jadi terpencar-pencar.
Sekarang
apabila kita duduk bawah satu bumbung, keselarian itu sudah ada.
Universiti terlibat dengan sekolah, IPG terlibat dengan universiti. TVET
terlibat dengan pihak sekolah. Jadi keselarian pendidikan itu
menjadikan pendekatan holistik berlaku. Di sinilah kita cuba
meningkatkan kualiti. Walau bagaimanapun, ia perlu lahir daripada para
pendidik dan juga pemegang taruh lain. Pertamanya, bagi anak-anak murid,
kita perlu meningkatkan kualiti mereka dengan apa yang kita berikan
kepada mereka. Keduanya para pendidik, guru, pensyarah, profesor dan
sebagainya. Mereka perlu menghayati perubahan yang ingin dibawa ini dan
mereka perlu hidup dengan semangat kualiti. Dan yang ketiga yang paling
penting adalah kesinambungan.
Dengan apa
yang berlaku ini tidak boleh dilihat berpencar-pencar dan terus
terpisah tetapi pendidikan adalah suatu perkara yang saling berkait
antara satu sama lain. Sebab itu, hari ini satu berita menarik,
pendidikan TVET kita pihak industri turut bersama memeliharanya.
Kita
ambil Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh
Thian Lai menerajui Jawatankuasa Teknikal TVET kita. Pertama kali dalam
sejarah Malaysia industri menerajui pendidikan negara. Beliau juga
menjadi ahli dalam Jawatankuasa Kabinet berkaitan TVET. Bagi industri
hari ini saya berasa gembira kerana sasaran kita untuk menjadikan
pendidikan TVET kita setaraf dengan Jerman dan negara Jerman juga telah
menyuarakan kesediaan mereka untuk membantu kita.
Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sudah mencecah separuh
jalan pelaksanaannya, sudah adakah kajian mengenai prestasinya?
Kita
ada kajian separuh penggal dan kajian tahunan berkaitan dasar-dasar
yang kita ada. Kita menyedari PPPM ini adalah satu dokumen yang baik
tetapi perubahan semasa negara dan perubahan semasa global memaksa kita
untuk melakukan beberapa penambahbaikan dan juga kita nampak berlaku
perubahan terhadap beberapa perkara di dalam PPPM. Satunya bahawa
walaupun sebaik mana perancangan itu di masa lalu, dalam perkembangan
semasa terdapat beberapa disruptif atau gangguan dalam perkembangan
global. Maka ini tidak boleh dipandang enteng. Kadang-kadang gangguan
ini mungkin tidak disedari ketika waktunya disediakan atau tidak
dijangkakan. Maka ini perlu kita perbaiki. Kita tidak nafikan juga
pengalaman beberapa negara maju yang mungkin hasilnya dikemukakan waktu
ini. Ia belum dibentangkan. Jadi segala input ini kita perlu ambil.
Ada apa-apa cadangan untuk membuat rombakan? Adakah kita sudah sedia untuk masuk ke gelombang ketiga PPPM?
Melalui
jawatankuasa kajian dasar yang telah dibentangkan kepada Perdana
Menteri, sekarang ini di peringkat makmal yang sedang diperhalusi.
Adakah harus disejajarkan ataupun perbaiki apa yang kurang dalam PPPM
ataupun untuk menggantikan beberapa pendekatan yang mungkin pada waktu
itu sudah terkehadapan pada waktu itu, tetapi waktu kini ia sudah
menjadi ketinggalan zaman untuk digantikan baharu. Jadi hasil kajian
asal itu akan dibentangkan pada Oktober ini.
Di mana kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bersatu mahu bawa Melayu ke mana?
Yang
pertama, bagi parti Bersatu kita punya tonggak adalah Perlembagaan
Persekutuan, kita akan mempertahankannya. Kita akan mempertahankan
kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan juga kedudukan orang Melayu
seperti yang dipertahankan oleh Perlembagaan. Jadi tonggak Bersatu
adalah Perlembagaan Persekutuan. Kita pertahankan sebagai kita punya
matlamat politik. Sebab kewujudan kita untuk mempertahankan Perlembagaan
untuk memastikan agama Islam, bahasa dan juga orang Melayu seperti mana
dalam Perlembagaan, berada pada tempat yang sepatutnya. Kedua, bagi
perjuangan Bersatu seperti mana yang selalu disebutkan oleh Tun bahawa
untuk memastikan orang Melayu sentiasa tidak ketinggalan dalam kepesatan
arus pembangunan, ekonomi, teknologi dan juga pendidikan.
Kita
kena pastikan bahawa orang Melayu tidak sekadar menjadi pengguna,
menjadi kuli ataupun menjadi orang suruhan. Kita kena pastikan orang
Melayu terlibat dalam industri pembuatan, dalam pemilikan kekayaan,
dalam teknologi. Kita tidak mahu menjadi pengguna semata-mata tetapi
kita kena jadi pencipta, pemilik kepada teknologi. Dan begitu juga dalam
bidang pendidikan. Kita tidak mahu orang Melayu sekadar menjadi yang
dididik semata-mata tetapi mereka yang dididik dan yang mencorakkan
pendidikan ini.
Jadi Bersatu komited
dalam perjuangan ini. Dan saya tidak kira perjuangan seumpama ini
dianggap sebagai perkauman. Perjuangan ini kita tidak menafikan
bangsa-bangsa lain. Dan kita pastikan bahawa setiap rakyat Malaysia
boleh menikmati hak mereka dan juga boleh menikmati kekayaan negara yang
dimiliki bersama. Sebab itu, sasaran kita Kemakmuran Bersama pada tahun
2030 tetapi Kemakmuran Bersama seperti yang disebut oleh Tun tidak
boleh kongsi, seperti awak dapat 10 kita dapat 90. Itu sudah jadi
seperti Nasib dan Badan (watak dalam filem Nujum Pak Belalang). Dia
tidak boleh seperti itu. Dia mestilah kita kongsi betul-betul kemakmuran
negara.
Adakah falsafah Bersatu
ini tidak didengari kerana asakan daripada beberapa pihak semakin kuat
dan mereka kelihatan seperti tidak memahami Perlembagaan Persekutuan?
Isu
yang timbul sebenarnya bukan daripada parti komponen kerana mereka di
peringkat pimpinan pun mereka tahu. Yang timbul isunya adalah pada pihak
luar atau pun pihak ketiga. Kita perhati mereka sama ada di pihak
pembangkang atau mereka yang tidak di pihak pembangkang dan tidak di
pihak kerajaan, tetapi mereka menggunakan saluran-saluran yang ada ini
untuk membawa agenda mereka. Mereka inilah yang menimbulkan perang saraf
dan kebencian.
Contoh, saya sendiri
menjadi sasaran dikatakan saya ini Melayu ultrarasis. Akhbar-akhbar
berbangsa bukan Melayu memang terus terang kata saya ini mentaliti UMNO,
Melayu ultrarasis kerana saya ini nak memperjuangkan pendidikan Melayu.
Dan ada yang kata saya ini latar belakang pendidikan agama jadi
dikatakan saya ini Melayu ultrarasis.
Dan
Tun sendiri kata, kalau bangsa lain, menteri mereka boleh bercakap
untuk masyarakatnya, kenapa Maszlee tidak boleh bercakap untuk
masyarakatnya? Bukanlah kita hendak menafikan, kita nak bangunkan semua
rakyat tetapi kita tidak mahu orang Melayu ketinggalan. Pada saya itulah
cabarannya kadang-kadang kita tidak boleh hendak puaskan hati semua
orang.
Bagi pihak liberal mengatakan
saya Melayu ultrarasis. Bagi pihak pembangkang yang kononnya
memperjuangkan bangsa dan agama, disebabkan saya daripada kerajaan
dikatakan saya ini pengkhianat bangsa dan tidak cukup Melayu. Inilah
cabaran, inilah politik. Yang penting bagi saya kita jelas dengan apa
yang kita bawa. Kita komited dengan apa yang kita bawa dan juga kita
tahu perjuangan kita. Pengorbanan kita adalah untuk matlamat yang suci.
Seperti
yang saya sebut sebelum ini, apa pun tohmahan, persepsi semua saya
terpaksa harungi sebab saya seorang ahli politik. Diterima ataupun tidak
diterima saya kena akui bahawa inilah cabaran menjadi ahli politik.
Yang penting, kita ada matlamat jelas dan komited. Kalau kita lihat
orang yang hendak buat besi, kalau mahu hasilkan pedang berkualiti, kena
lagi kuat apinya, kena lagi kuat ketuknya.
Jadi
untuk memberikan yang terbaik, tekanan yang kuat itu kita kena ambil
positiflah untuk belajar kenali diri kita, kenali orang lain dan
mengetahui apakah cara yang silap untuk kita perbaiki. Dan akhirnya kita
akan tahu apa cara yang terbaik. Saya sebenarnya mengucapkan terima
kasih kerana lagi ramai bising tentang pendidikan ini menunjukkan yang
mereka peka. Sebelum ini ramai yang kecewa, bila kecewa mereka tidak
mahu bercakap apa-apa. Hari ini kita dapati apabila mereka sebut tentang
hal ini maksudnya mereka peka atau ambil tahu kiranya dah berjayalah.
Berjaya menimbulkan keghairahan dalam kalangan rakyat untuk berbicara.
Cuma kita terpaksa berkorbanlah walaupun kita menjadi sasaran,
sekurang-kurangnya ia membuka ruang untuk rakyat.
0 comments:
Catat Ulasan