Presiden
PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju dengan tindakan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan
dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata penahanan berkenaan tidak
seharusnya dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah
Khas 2012 (SOSMA) yang disifatkannya sebagai terlalu keras.
“Kami telah menentang akta ini sejak awal namun sebenarnya jika ia
berkaitan dengan keganasan saya menyokong tindakan polis, ia tidak
terhad kepada tindakan terhadap LTTE tetapi semua yang membabitkan
keganasan.
“Ini yang orang bangkitkan sekarang terhadap PKR (mengapa PKR tidak
bantah guna SOSMA), mana-mana negara sudah pasti akan mengekang isu
berkaitan keganasan dan kita juga patut serahkan kepada PDRM untuk
mengambil tindakan bagi menangani isu itu,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Konvesyen PKR Pulau Pinang pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Muhammad Bakhtiar Wan
Chik.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan
beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membantah polis menggunakan
SOSMA dalam penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) dari DAP kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut,
menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi khas berasingan yang
dijalankan oleh Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman
sejak Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson,
menafikan bahawa beberapa bekas ahli PKR turut ditahan berkaitan LTTE
sejak minggu lepas.
“Saya tidak menerima sebarang laporan yang ada sekarang atau bekas
ahli PKR yang terlibat atau ditangkap oleh E8 PDRM,” katanya ditanya
mengenai khabar angin bahawa empat bekas anggota PKR adalah antara
mereka yang ditahan dalam operasi berterusan oleh polis.
Dalam perkembangan lain, Anwar, yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi
dan Tadbir urus Parlimen,berkata Belanjawan 2020 kurang memberi fokus
kepada industri pertanian sedangkan ia adalah antara industri penting
bagi negara.
Menurutnya, industri pertanian juga memerlukan belanjawan khusus
supaya ia dapat ditingkatkan kerana setiap tahun negara mengimport RM52
bilion hasil pertanian dari luar.– BERNAMA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan