Belanjawan 2020 akan dibentangkan hari ini. Semua lapisan masyarakat dalam negara kita kini sedang menantikan proses pembentangan yang bakal dilakukan oleh menteri kewangan. Walau apa pun perangkaan bajet yang bakal diumumkan kelak, pihak kerajaan harus memberi keutamaan terhadap beberapa isu pokok yang menjadi buah mulut semasa di kalangan rakyat.
Antara isu yang menjadi topik hangat ialah isu melibatkan kos sara hidup, yang dilihat meningkat semenjak kebelakangan ini. Dengan keadaan ekonomi dalam negara kita yang tidak menentu serta keadaan ekonomi dunia yang dilihat tidak stabil pada ketika ini, sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi semua negara dalam dunia termasuk lah Malaysia.
Dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini, ia sedikit sebanyak menyumbang terhadap peningkatan kos sara hidup dalam negara kita. Isu yang melibatkan kos sara hidup tidak seharusnya dipinggirkan dalam merangka proses bajet 2020. Peningkatan harga barangan dan perkhidmatan harus dikawal dan diatasi dengan baik dan bijak.
Kerajaan harus memberi pertimbangan serius terhadap beberapa permintaan pihak-pihak berkaitan dalam negara kita bagi meningkat kadar gaji para pekerja di semua sektor pekerjaan dalam negara kita, sama ada sektor kerajaan ataupun sektor swasta.
Dengan keadaan ekonomi kurang menentu pada masa kini, kerajaan wajar menangguhkan sebarang hasrat atau usaha memperkenalkan cukai baru yang boleh memberi beban kewangan tambahan kepada rakyat.
Belanjawan 2020 juga harus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya kepada golongan muda. Kerajaan harus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh rakyat Malaysia dan bukannya diisi oleh warga asing.
Isu pembangunan pengangkutan awam juga merupakan isu penting yang tidak harus dilupakan. Pembangunan pengangkutan awam dalam negara kita tidak boleh lagi dielakkan kerana kebanyakkan negara dalam dunia kini lebih memberi tumpuan terhadap pembangunan sektor pengangkutan awam.
Dengan pertambahan jumlah penduduk, pengurangan hasil komoditi berasaskan minyak, serta bagi melindungi alam sekitar khususnya daripada pencemaran yang dihasilkan melalui kenderaan persendirian, sektor pengangkutan awam dapat menawarkan banyak kebaikan kepada proses pertumbuhan negara kita pada masa depan.
Kualiti perkhidmatan
Oleh itu, pembangunan sektor pengangkutan awam harus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2020 dan bajet-bajet seterusnya kerana pengangkutan awam bakal menjadi pengangkutan utama di serata dunia, termasuk Malaysia pada masa akan datang.
Walaupun terdapat beberapa usaha yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan bagi membangunkan sektor pengangkutan awam dalam negara kita, langkah agresif perlu diambil lagi bagi meningkatkan mutu sektor pengangkutan awam.
Kerajaan harus memberi tumpuan terhadap aspek penambahan kualiti penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam dalam negara kita dengan menambah lokasi jaringan pengangkutan awam sama ada dalam kawasan bandar ataupun kawasan luar bandar. Isu kelewatan, kerosakan dan penundaan proses perjalanan pengangkutan awam dalam negara kita perlu diatasi dengan baik supaya ia tidak menjejaskan pihak pengguna.
Selain itu, kerajaan juga tidak seharusnya melupakan golongan memerlukan lebih perhatian untuk dibantu seperti warga tua, golongan orang kurang upaya, ibu tunggal, dan lain-lain lagi.
Walaupun sudah wujud pelbagai jenis bantuan atau pemberian terhadap golongan berkenaan, namun dengan keadaan ekonomi semasa serta peningkatan kos sara hidup yang dialami pada masa kini, segala jenis bantuan atau pemberian yang telah diberikan harus dilihat dan dinilai semula supaya ia dapat disesuaikan dengan keadaan semasa pada hari ini.
Adalah menjadi harapan semua rakyat Belanjawan 2020 hari ini akan membawa berita baik buat semua pihak bagi menempuh segala dugaan dan cabaran akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan