Cubaan kedua kerajaan mansuh Akta Antiberita Tidak Benar

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mula membahaskan rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar buat kali kedua, selepas cubaan pertama ditolak Dewan Negara setahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, Kabinet meluluskan pembentangan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 pada 3 Ogos lalu.

“Ia selaras komitmen kerajaan memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan seperti dalam janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya ketika membentangkan RUU itu.

Akta Antiberita Tidak Benar dikuatkuasakan pada 11 April 2018 di bawah kerajaan Barisan Nasional untuk menangani penyebaran berita palsu.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Tetapi, selepas kerajaan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, ia membentangkan usul RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, ia ditolak Dewan Negara pada bulan berikutnya, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 senator undi menentang RUU itu, 21 menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan