Saya
membaca berita dari portal Sinar Harian bertarikh 6 Oktober 2019
seperti dilaporkan oleh Asyraf Muhammad di bawah tajuk ‘Jakim perlu
betulkan konsep Rahmatan Lil Alamin’. Tajuk itu dipetik daripada salah
satu resolusi Kluster Agama Persidangan Meja Bulat pada 23 dan 24
September 2019 di Hotel Tenera Bangi. Ia dibacakan oleh YB Ustaz Ahmad
Fadhli Shaari dalam Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium
Melawati pada 6 Oktober 2019.
Merujuk kepada teks asal ucapan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, desakan
dan tuntutan pada poin no.9 menyatakan “Jakim hendaklah memperbetulkan
konsep Rahmatan Lil Alamin dan hifz ad din dengan mengambil kira
pandangan ulama yang muktabar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah”.
Untuk pengetahuan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, inisiatif Jakim
mempromosikan gagasan RLA, Maqasid Syariah dan Model Malaysia itu kepada
kementerian dan jabatan kerajaan bukanlah tindakan berdasarkan arahan
persendirian YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), sebaliknya perkara
berkaitan telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-254
pada 4 Julai 2019.
Sebelum itu ia telah dibentangkan di peringkat Mesyuarat Majlis
Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang ke-65 yang diadakan pada 14
Mac 2019 yang bersetuju agar program-program penjelasan nilai RLA dan
Maqasid Syariah yang menjadi tonggak Gagasan Negara Rahmah dilaksanakan
oleh semua agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.
Ia rentetan daripada titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Dewan Rakyat pada 11 Mac 2019 yang
“amat menyokong usaha kerajaan mempromosi nilai dan budaya kerja Islam
melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah”.
Wajar juga diingatkan kembali bahawa YAB Perdana Menteri Malaysia,
Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah menyatakan ikrar dalam pertemuan
sulung bersama para ulama dan cendikiawan Islam pada 31 Julai 2018 di
Jabatan Perdana Menteri bahawa pentadbiran kerajaan baharu adalah
berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis sahih.
Maka gagasan RLA, Maqasid Syariah dan Model Malaysia adalah
gagasan-gagasan untuk menterjemahkan ajaran al-Quran dan hadis sahih ke
alam realiti di negara ini. Oleh yang demikian, rujukan Jakim dalam
mempromosi gagasan RLA, Maqasid Syariah dan acuan Model Malaysia adalah
berlandaskan ajaran al-Quran, hadis sahih serta kupasan para ulama
muktabar di zaman klasik dan kontemporer. Tiada satu pun rujukan dibuat
kepada ideologi sekularisme atau pluralisme barat.
Untuk memantapkan lagi kupasan berkenaan RLA, Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Rahmatan
Lil Alamin pada 19 September 2019 yang lalu.
Tokoh-tokoh ulama dan sarjana pengajian dan pemikiran Islam tempatan
dan Nusantara yang hadir membentangkan kertas kerja dan membahas secara
mendalam ialah Prof Emeritus Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hassan
(Malaysia), Prof. Dr. Muchlis M. Hanafi (Indonesia), Dato’ Profesor Dr.
Afifi al-Akiti (Malaysia/Oxford), Prof. Dato’ Dr. Noor Inayah Ya’akub
(Malaysia), Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya (Thailand), SS Datuk
Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Prof. Dr. H. Warul
Walidin (Acheh, Indonesia), Dr. Lily Suzana Haji Samsu (Brunei) dan
Encik Mohamad Helmy Mohd Isa (Singapura).
Mereka telah sepakat bersetuju menjadikan dasar RLA sebagai agenda
asas negara dalam membina dan melahirkan generasi rahmah melalui
pemahaman, pemupukan dan semangat toleransi dalam masyarakat majmuk di
Malaysia.
Pendefinisian toleransi dan konsep-konsep yang tersebut perlu dibina
berdasarkan nilai-nilai murni dan kearifan tempatan, bukan pinjaman dan
rujukan dari aliran Sekularisme, Pluralisme dan Perennilisme.
Di sini sukalah saya menyambut saranan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperbetulkan konsep
Rahmatan Lil Alamin (RLA) itu. Sebagai pegawai yang turut
bertanggungjawab membuat pembentangan kertas konsep, diskusi meja bulat
(RTD) dan penulisan modul berkaitan gagasan Rahmatan Lil Alamin dan juga
Maqasid Syariah yang membabitkan libat urus lebih 20 jabatan kerajaan
setakat ini, antaranya Bahagian Dakwah Jakim, Institut Latihan Ilmu
Islam (ILIM) Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Perpaduan Negara, TV
al-Hijrah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kumpulan Pegawai
Penyelaras Masjid Daerah Peringkat Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru
Kampus Pendidikan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia, Kader Jakim dalam PDRM, Bahagian Integriti Kementerian Sumber
Manusia dan lain-lain lagi, saya sangat mengalu-alukan YB Ustaz Ahmad
Fadhli Shaari dan sesiapa sahaja agar menyatakan kesilapan atau
kesalahan yang berlaku dalam gagasan RLA itu.
Hal ini kerana sepanjang pembentangan, perbincangan dan perbahasan
yang tersebut, saya tidak mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak
daripada jabatan-jabatan berkenaan bahawa berlaku kesilapan atau
kesalahan dalam konsep RLA yang dipelopori YB Menteri di JPM (Hal Ehwal
Agama) dan dipromosikan Jakim itu. Dalam setiap kursus dan pembentangan,
ramai peserta yang memiliki ijazah master dan PhD dalam bidang
masing-masing. Mereka bukanlah orang biasa-biasa yang hanya tahu menadah
maklumat yang disuapkan oleh penceramah yang dilantik Jakim.
Walau bagaimana pun saya tidaklah mendakwa bahawa YB Menteri di JPM
(Hal Ehwal Agama), Jakim atau saya sendiri tidak pernah melakukan
kesalahan atau kekhilafan. Kami sangat terbuka kepada kritikan yang
membina dan objektif yang menegur dan membetulkan kesilapan yang kami
lakukan, jika ada. Apa yang kami sasarkan ialah mesej RLA yang merupakan
inti ajaran Islam ini sampai kepada masyarakat melampaui batas agama,
kaum dan politik, bertepatan dengan sokongan DYMM YDP Agong dan ikrar
YAB Perdana Menteri. Tanpa menyatakan di mana kesilapan atau kesalahan
konsep RLA itu, pihak Jakim tidak boleh membuat pembetulan. Justeru
diharapkan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan pasukan dari klusternya
menyatakan secara terperinci akan kesilapan atau kekhilafan tersebut.
Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan