KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata segala kesalahan dulu
yang mendorong kepada kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan
2020 akan dihapuskan dengan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama
(WKB).
Perdana Menteri berkata, menerusi dasar baharu itu,
kerajaan akan memastikan mereka yang mendapat peluang akan berupaya
menggunakannya dengan sepenuhnya.
“Ahli Yang Berhormat
menyebutkan kesalahan yang dilakukan dulu menyebabkan gagalnya dasar dan
wawasan yang dicipta pada masa itu. Saya ingin menekankan bahawa segala
kesalahan ini akan dihapuskan apabila kita melaksanakan WKB.
“Kita
hanya minta kesanggupan rakyat menerima dasar ini dan bukan lagi
mendapat kekayaan mudah dengan segera, sebaliknya kekayaan lebih mapan
sepanjang masa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau
berkata demikian menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-PKR
Setiawangsa) mengenai bagaimana pendekatan WKB dapat mengatasi
kekurangan yang ada dalam dasar terdahulu seperti membolot harta dan
salah guna serta kerosakan terhadap institusi Bumiputera.
Dr Mahathir berkata, WKB akan memastikan peluang yang diberikan kepada rakyat mencapai hasil seperti yang ditentukan.
“Jika
dulu, kerajaan tumpu kepada peningkatan bilangan peluang berdasarkan
prinsip kesaksamaan peluang untuk Bumiputera terutama dalam bidang
ekonomi dan pendidikan.
“Kini, aspek keberhasilan
pencapaian berdasarkan prinsip kesaksamaan keberhasilan kepada
Bumiputera turut diberi penekanan dalam WKB di mana peluang akan
diberikan kepada Bumiputera yang membuktikan kelayakan dan kemampuan
mereka.
“Bagi yang masih belum layak dan mampu pula,
bantuan, latihan serta sokongan sewajarnya akan diberikan bagi
meningkatkan peluang kejayaan mereka. Inilah cara kita menguruskan WKB,”
katanya.
Dr Mahathir menegaskan, menerusi wawasan itu,
kerajaan berhasrat melahirkan generasi Bumiputera baharu yang berpegang
teguh kepada nilai moral integriti, bersikap rajin berusaha dan
bermaruah serta bersemangat kental nasionalis yang ingin menyelamatkan
negara, tanpa bergantung kepada orang asing.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan