Beliau berkata ia adalah temubual selama 1 jam oleh akhbar Cina, Oriental Daily dan topik utamanya adalah mengenai reformasi Parlimen yang sudah tercapai.
Beliau berkata laporan berita itu hanya berdasarkan satu ayat sahaja.
“Nyata sekali ia diambil di luar konteks dan tajuknya tidak tepat,” katanya , ketika ditanya mengenai artikel itu.
Ia memetik Nga sebagai berkata DAP mencapai satu konsensus untuk menarik diri daripada kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.
UEC adalah sijil sekolah tinggi yang diberikan oleh sekolah-sekolah Cina swasta.
Nga di Twitter berkata laporan Malaysiakini itu “sangat mengelirukan” kerana ia mengambil kenyataannya di luar konteks dengan melaporkan petikan daripada temubual yang panjang oleh Oriental Daily.
‘Tidak sihat’
Susulan laporan berita itu, peguam Haniff Khatri Abdulla memberitahu kenyataan Nga itu “tidak sihat, tidak matang, dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang” kerana isu UEC merupakan keputusan dasar yang belum dipertimbangkan Kabinet.
Haniff berkata semua orang tahu satu pasukan petugas diketuai menteri pendidikan sebelum ini, Maszlee Malik sedang melihat isu pengiktirafan UEC dan belum menyerahkan kertas kerjanya kepada Kabinet.
Oleh itu, adalah “sangat salah” untuk Nga berkata demikian dan beliau patut menarik balik kenyataannya.
“Pasukan petugas itu perlu melapor kepada Kabinet dan satu keputusan dasar akan dibuat Kabinet. Tetapi pasukan petugas itu belum menyiapkan laporannya.
“Jadi, bagaimana seorang pemimpin kanan DAP, parti pemerintah, buat kenyataan seperti mengancam kerajaan? Ini sangat salah.
“Ia tidak sihat, tidak matang, dan memberikan gambaran orang yang membuat komen itu mahu menentang konsep kedaulatan undang-undang,” kata Haniff.
Sementara itu, bekas ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail tertanya adakah pendirian Nga itu juga pendirian pemimpin DAP lain.
Meminta ahli-ahli DAP lain menyuarakan pandangan mereka, beliau berkata kenyataan Nga itu mungkin mencerminkan sentimen akar umbi DAP di lapangan.
“Bunyinya seperti kata dua,” katanya.
Penganalisis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) juga mengulangi pandangan Tawfik dan tertanya adakah ini juga pandangan pemimpin DAP lain.
Beliau berkata mungkin kumpulan pendidik Cina menyuarakan isu itu kepada Nga kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekarang menteri pendidikan sementara.
“Mungkin mereka berharap dapat sedikit perhatian tentang perkara itu ketika Mahathir sedang melihat untuk mengubah suai sistem pendidikan,” kata Azizuddin.
0 comments:
Catat Ulasan