Pemimpin politik bermesyuarat di tengah spekulasi masa depan Pakatan

SESUATU sedang berlaku dalam politik Malaysia yang dipercayai menyentuh masa depan Pakatan Harapan ketika beberapa pihak dalam parti itu serta beberapa parti politik lain mengadakan mesyuarat dan pertemuan berasingan hari ini.

Ketika Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pagi ini bermesyuarat di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, beberapa pemimpin PKR yang setia dengan timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali mula berhimpun di sebuah hotel berdekatan.

Sebuah bilik persidangan di hotel itu ditempah untuk acara tertutup dari 10 pagi hingga 7 petang ini.
Azmin tidak kelihatan di hotel itu namun beberapa Ahli Parlimen PKR yang dekat dengannya ada.

Antaranya dua menteri kabinet Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah, serta Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya). Timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnoon yang juga ahli Parlimen Batu Pahat juga kelihatan.

Turut kelihatan aktivis politik Hishamuddin Rais serta pegawai Azmin, antaranya setiausaha politik Muhammad Hilman Idham dan penasihat Khalid Jaafar.

Sementara itu melalui beberapa masukan di Twitter, Azmin memberitahu beliau sedang meluangkan masa bersama keluarga menghadiri majlis sambutan hari jadi cucunya.

Sejak malam tadi, muncul desas desus Azmin dan pengikutnya akan membuat pengumuman keluar PKR. Maklumat itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan beberapa pemimpin PKR yang dihubungi enggan berkongsi apa-apa.

Sementara itu,  difahamkan Umno dan PAS yang bekerjasama atas nama Muafakat Nasional juga akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam perkembangan lain, Gabungan Parti Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen partinya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sumber parti enggan mendedahkan bila mesyuarat itu bermula tetapi hanya berkata ia satu mesyuarat penting.

Perkembangan hari ini menyusul mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin (21 Feb) yang membincangkan tempoh peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Selepas mesyuarat lebih kurang 3 jam, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH menyerahkan kepada beliau untuk menentukan bila peralihan itu akan berlaku.

Apa yang dipersetujui hanyalah peralihan itu akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini tetapi tiada tarikh ditetapkan.

“Tiada masa ditetapkan, tiada tarikh, tiada apa-apa… hanya (ditetapkan) selepas APEC.
“Terpulang kepada saya, sama ada saya hendak lepas (jawatan perdana menteri) atau tak lepas.

Itulah kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada saya. Alhamdulillah,” kata Dr Mahathir kelmarin.

Namun tidak sampai 12 jam selepas itu, butiran perbincangan mesyuarat tersebut mula terdedah daripada beberapa sumber yang enggan dinamakan. themalaysianinsight
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan