Prinsip Keadilan Dalam Kes LTTE



1. KANUN percaya ramai pihak yang terkejut dengan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang memutuskan untuk memberhentikan prosiding pendakwaan ke atas beberapa orang tertuduh yang berkaitan dengan kes LTTE. KANUN memahami bahawa Peguam Negara mempunyai hak untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas mana-mana orang selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

2. Menerusi kenyataan media Peguam Negara itu dapat difahami bahawa antara asas perberhentian pendakwaan itu disebabkan Peguam Negara menganggap LTTE bukanlah satu pertubuhan pengganas meskipun LTTE telah diwartakan sebagai pertubuhan pengganas menerusi warta Kementerian Dalam Negeri pada 12 November 2014 (PU(A) 301). KANUN menghargai prinsip ‘servant of justice’ (hamba kepada keadilan) yang dipegang oleh Peguam Negara.

3. KANUN percaya tindakan Peguam Negara itu akan menimbulkan polemik masyarakat kerana masyarakat akan tertanya-tanya sama ada tindakan Peguam Negara yang sebelum ini telah memilih untuk membuat pertuduhan ke atas mereka adalah satu tindakan yang telah dibuat secara objektif atau pun tindakan itu dipengaruhi oleh unsur-unsur lain terutamanya kes-kes ini telah melalui pelbagai peringkat kes di Mahkamah. Rakyat juga memerlukan penjelasan sama ada Peguam Negara telah melangkaui bidangkuasanya dengan membuat keputusan dasar yang sepatutnya berada dalam bidangkuasa Kementerian Dalam Negeri. Peguam Negara perlu memberikan penjelasan mengenai hal ini.

4. Pada masa yang sama, KANUN berharap supaya Peguam Negara dapat juga menyemak semula kedudukan tahanan lain yang masih ditahan di bawah SOSMA tanpa mengira agama dan bangsa mereka selaras dengan konsep ‘servant of justice’ yang dipegang oleh Peguam Negara.

5. KANUN juga berharap supaya warta mengenai pertubuhan pengganas ini juga dapat disemak oleh Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri supaya prinsip keadilan dapat ditegakkan dan supaya kedudukan pertubuhan lain yang disenaraikan seperti kumpulan Islamic State, Al Qaeda, Boko Haram, Abu Sayyaf, Darul Islam Malaysia dan lain-lain dapat ditentusahkan sebagai pertubuhan pengganas.

6. KANUN juga memahami sentimen awam yang cuba mengaitkan isu perkauman dalam tindakan Peguam Negara ini dengan membandingkan dengan kes Siti Noor Aisyah Atam yang pernah dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun kerana memiliki 12 buah buku berkaitan militan IS. Kes ini telah diputuskan pada tahun 2017 iaitu ketika Malaysia masih di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

 Pada ketika itu, AMANAH sendiri telah terlibat membantah penggunaan SOSMA dan ketidakadilan ke atas Siti Noor Aisyah.

7. Justeru, KANUN berharap Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri dapat mengkaji semula peruntukan SOSMA berkaitan penahanan tanpa bicara dengan meminda peruntukan yang menindas dan memperkemaskan SOP (Standard Operating Procedures) berkaitan penahanan tanpa bicara ini.

KANUN berharap agar orang ramai tidak menggunakan isu LTTE ini untuk menyemarakkan lagi isu perkauman dan rasisme sehinggakan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Dr. Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan