ADA tiga peristiwa yang rakyat tidak tahu dan peristiwa-peristiwa ini
tidak pernah diceritakan oleh Anwar Ibrahim kepada ahli ahli PKR
sendiri.
Sudah tiba masanya saya merasakan rakyat perlu tahu supaya mereka
boleh membuat perbandingan mengenai prinsip perjuangan dan pengorbanan
yang diambil antara kedua-dua tokoh ini.
Peristiwa Pertama
Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pemimpin-pemimpin Pakatan
Harapan (PH) kerap membuat perbincangan mengenai siapakah yang akan
diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-7.
Oleh kerana ketika itu Anwar Ibrahim masih di dalam penjara manakala
Tun Mahathir Mohamad pula sudah agak lanjut usianya maka Muhyiddin
Yassin merasai dirinya layak dicalonkan.
Di sinilah bermulanya episod kerjasama antara Muhyiddin Yassin dengan Azmin Ali.
Muhyiddin telah menemui Anwar di mahkamah untuk mendapatkan persetujuan beliau.
Janji Muhyiddin kepada Anwar, beliau akan menjadi Perdana Menteri
(PM) untuk tempoh dua tahun saja dan kemudian akan menyerahkan jawatan
PM kepada Anwar sebaik selepas Anwar mendapat pengampunan dan kembali
semula ke Parlimen.
Anwar dengan berlapang dada bersetuju dan menyokong cadangan Muhyiddin.
Anwar seterusnya meminta Muhyiddin membawa cadangan tersebut dan berbincang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Lim Kit Siang juga difahamkan pernah mengusulkan nama Muhyiddin
sebagai Perdana Menteri ke-7 sementara menunggu Anwar dibebaskan dari
penjara.
Bagaimanapun, sebelum cadangan ini dibawa ke Majlis Presiden PH,
Muhyiddin terlebih dahulu membentangnya dalam satu mesyuarat Majlis
Tertinggi Bersatu.
Di situ, Muhyiddin turut memberitahu mesyuarat tersebut bahawa Azmin
Ali akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika PH berjaya
membentuk kerajaan dalam PRU14.
Namun malangnya cadangan Muhyiddin itu tidak mendapat restu dan
sokongan majoriti ahli MKT Bersatu lantas perdebatan hangat telah
berlaku di antara penyokong Tun Mahathir dengan Muhyiddin.
Pertikaman lidah turut berlaku di antara Setiausaha Politik Tun
Mahathir iaitu Muhammad Zahid Mat Arip dengan Muhyiddin sehingga Tun
Mahathir terpaksa mencelah.
Tun Mahathir meminta supaya mesyuarat tidak lagi membincangkan akan
isu siapa yang harus menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana
Menteri kerana apabila tiba masanya beliau (Tun Mahathir) dan Tun Daim
akan berbincang dengan Anwar sendiri.
Perancangan awal Muhyiddin-Azmin inilah antara punca utama mengapa
Azmin menolak cadangan Majlis Presiden PH kemudiannya apabila Majlis
Presiden PH telah menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri
ke-7.
Dikhabarkan Azmin dengan marah dan muka merah bertindak meninggalkan dewan mesyuarat.
Justeru tindakan Azmin yang diketahui ramai sekarang iaitu
meninggalkan Tun Mahathir dan menyokong Muhyiddin bukanlah sesuatu yang
mengejutkan.
Peristiwa Kedua
Peristiwa ini berlaku selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.
Sebaik sahaja SPR mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan, Tun
Mahathir terus bertanya kepada Muhyiddin jawatan apakah yang beliau
mahu.
Muhyiddin ketika itu meminta jawatan Menteri Kewangan diberi
kepadanya atas alasan beliau adalah seorang bekas Timbalan Perdana
Menteri dan pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan.
Tun Mahathir bersetuju dengan permintaan Muhyiddin itu.
Setelah mendengar persetujuan dan janji Tun Mahathir itu, Muhyiddin
dengan penuh yakin pulang ke Johor Bahru untuk menyembah nama calon
Menteri Besar Johor kepada Baginda Sultan.
Sekembalinya Muhyiddin ke Kuala Lumpur beliau mendapat tahu bahawa
jawatan Menteri Kewangan telah diberikan Tun Mahathir kepada Lim Guan
Eng manakala beliau pula diberikan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.
Muhyiddin bergegas bersemuka dengan Tun Mahathir lalu menagih janji Tun Mahathir padanya.
Tun Mahathir menerangkan kepada Muhyiddin bahawa DAP telah meminta
jawatan Timbalan Perdana Menteri-2 namun setelah perbincangan dan
sebagai tindakan tolak ansur Tun Mahathir telah berjanji untuk melantik
Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Dengan perasaan amat kecewa dan marah dengan alasan yang diberikan
Tun Mahathir, Muhyiddin lantas memberitahu kepada Anwar Ibrahim bahawa
beliau akan meletakkan jawatannya.
Anwar dengan tekun dan penuh hormat meminta agar Muhyiddin bersabar
kerana kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14
adalah lebih besar ertinya dari sebuah jawatan.
Kata Anwar, apa yang berlaku kepada Muhyiddin adalah terlalu kecil
berbanding jumlah jawatan dalam kabinet yang diberi kepada PKR walaupun
PKR pada selepas PRU itu memiliki kerusi parlimen terbanyak.
Anwar berkali-kali meminta agar Muhyiddin bersabar kerana sukar bagi
beliau nanti untuk melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri
jika Muhyiddin meletakkan jawatan beliau.
Pada ketika itulah Anwar berjanji akan melantik Muhyiddin sebagai TPM
apabila Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun
Mahathir dalam tempoh dua tahun seperti yang dijanjikan oleh Tun
Mahathir.
Peristiwa Ketiga
Peristiwa ini berlaku beberapa bulan lalu apabila Tun Mahathir meminta Muhyiddin mengharamkan Umno.
Tindakan mengharamkan Umno adalah strategi akhir Tun Mahathir
bilamana beliau mendapati tidak ramai Ahli Parlimen Umno menyeberang dan
menyertai Bersatu.
Matlamat akhir Tun Mahathir ialah untuk membina Parti Bersatu sebagai pengganti Umno.
Muhyiddin bersetuju dan turut menyokong langkah ini. Fail dan dokumen
untuk membatalkan pendaftaran Umno telah disediakan dan sudah pun
berada di atas mejanya.
Hal ini pernah diceritakan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi kepada MKT
Umno bagi menghalalkan langkahnya untuk berunding dengan Tun Mahathir.
Apabila rancangan untuk mengharamkan Umno ini diketahui Anwar, beliau
bergegas menemui Muhyiddin dan berhujah menyanggah tindakan itu.
Kata Anwar, Umno adalah legasi perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan
yang turut disertai ibu ayah dan keluarga kita semua. Pengharaman Umno
akan menjadi satu tragedi hitam yang akan menyayatkan hati seluruh umat
Melayu termasuk Raja-raja Melayu.
Kata Anwar lagi kepada Muhyiddin, jika pengharaman ini berlaku maka
Tun Mahathir dan Pakatan Harapan akan dikutuk oleh orang Melayu dan kita
semua akan dicatat sebagai pengkhianat bangsa.
Hujah Anwar, Umno tidak berdosa tetapi yang berdosa ialah pemimpinnya.
Sekiranya Umno diharamkan sudah pasti proses di Mahkamah akan memakan
masa dan kerajaan PH tidak mampu menumpukan seluruh perhatian kepada
pembinaan semula negara yang hampir muflis.
Lebih parah lagi rakyat akan percaya dengan dakyah pembangkang
bahawa PH adalah kuda tunggangan DAP. Pakatan Harapan pasti akan kalah
pada PRU akan datang.
Alhamdulillah akhirnya Muhyiddin akur dengan hujah Anwar dan Umno terselamat darpada diharamkan.
Bayangkanlah dimana kedudukan Muhyiddin sekarang jika beliau mengikut
nafsu amarah dan meletakkan jawatannya. Bayangkanlah apa yang akan
terjadi kepada seluruh ahli-ahli Umno sekiranya Umno berjaya diharamkan?
Yang pasti, tentu sekali pada hari ini tidak akan wujud Perikatan
Nasional jika Umno diharamkan dan sudah tentulah Muhyiddin tidak akan
menjadi Perdana Menteri ke-8.
Maka Muhyiddin sewajarnya berterima kasih kepada Anwar kerana keikhlasan Anwar menasihati beliau.
Bahkan seluruh Ahli Parlimen dan ahli Umno juga wajar berterima kasih
kepada Anwar kerana sosok yang pernah difitnah dan diaibkan oleh
pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO inilah yang telah bertindak
menyelamatkan Umno daripada diharamkan.
Maka, tepuk dada tanyalah hati berfikirlah dengan nurani yang tulus
untuk menilai pengorbanan sebenar antara Anwar dengan Muhyiddin dan juga
pemimpin politik yang lain. Sesungguhnya Ini adalah satu episod hitam
yang benar-benar telah meninggalkan parut yang mendalam dalam sejarah
tanah air kita yang tercinta.
“Bijak berpenchak langkah bertukar
Bijak berakal mengawal diri
Adat berhutang kami membayar
Adat berjanji kami tepati.”
*Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan PKR dan bekas timbalan menteri*
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan