Mukhriz dakwa Kedah guna tuntutan RM1 bilion lulus lebih banyak konsesi balak

ALOR SETAR: Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri pimpinan PAS mereka cerita berhubung tuntutan ganti rugi lebih RM1 bilion daripada pembalak sebagai helah untuk meluluskan lebih banyak konsesi pembalakan di negeri itu.

Katanya, ketika beliau menjadi menteri besar, tiada tuntutan ganti rugi daripada syarikat pembalakan selepas mereka kehilangan peluang untuk membalak di Hutan Simpan Ulu Muda yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2019.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas tidak ada mana-mana pihak, baik secara berasingan mahupun secara bersama, yang telah menuntut pampasan dari kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1 bilion. Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan meluluskan konsesi.
“Tidak perlulah mendabik dada seolah-olah ada masalah besar yang telah ditinggalkan PH yang perlu diselesaikan segera oleh PAS dan sekutunya.
“Jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan yang bukan-bukan. Rakyat memerhati setiap gerak langkah menteri besar dan exco.

“Lebih dari itu, Allah sentiasa mengetahui apa yang terniat di dalam hati anda semua. Silap langkah, terima padahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata, beliau mempengerusikan 3 mesyuarat sejak bulan lalu dan menyelesaikan isu pembalakan tertunggak.

Katanya, penyelesaian menang-menang dicapai berhubung konsesi pembalakan, yang memanfaatkan kerajaan, rakyat dan pencinta alam sekitar yang mahu pembalakan di Ulu Muda dihentikan.

 “Tiada syarikat yang (hilang hak pembalakan di Ulu Muda) mengugut untuk mengheret kerajaan ke mahkamah.

“Hasil daripada sesi-sesi ‘engagement’ itu, hanya beberapa tuntutan bertulis telah diterima. Semua pihak memberi kerjasama yang baik bagi mencapai kata sepakat.

“Bagi syarikat yang telah diluluskan kawasan pembalakan, tetapi belum membayar premium sepenuhnya, mereka akan diberikan tempoh tertentu untuk menjelaskan bayaran tertunggak. Kalau mereka gagal membayar, maka kelulusan akan dibatalkan.

“Jika kompartmen pembalakan mereka terletak di dalam kawasan tadahan air (yang diwartakan), mereka akan diminta mengenal pasti kompartmen lain di luar kawasan tadahan air.”

Mukhriz berkata, apa yang diumumkan kerajaan negeri baru sebenarnya ialah kerja keras kerajaan negeri PH terdahulu.

“Tidak ada apa-apa masalah yang terpaksa diselesaikan oleh menteri besar baru 10 hari itu.”

Menteri Besar baru, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, kerajaan negeri PH meninggalkan bayaran ganti rugi hampir RM1.5 bilion yang dituntut 40 syarikat pembalakan diberikan hak membalak di Hutan Simpan Ulu Muda.

Hutan simpan itu ialah kawasan tadahan air penting dan banyak kumpulan menuntut pembalakan dihentikan sama sekali di kawasan berkenaan. Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Muda untuk keperluan mereka.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan