KOTA KINABALU, 9 Mei — Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) telah
meluluskan pengeluaran Akaun 2 kepada 3.5 juta pencarum berjumlah RM1.66
bilion sejak pengeluaran i-Lestari dilancarkan April lepas,
kataTimbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata setiap
pencarum yang telah mendapat kelulusan KWSP, amaun yang dipohon bagi
pengeluaran i-Lestari dikreditkan ke akaun masing-masing secara
pindahan dana elektronik bermula dari 4 hingga 18 Mei.
“Inisiatif i-Lestari KWSP
yang melibatkan peruntukan sebanyak RM40 bilion akan menyediakan
kecairan dalam ekonomi negara secara purata RM3.3 bilion sebulan.
Agregat
kecairan ini diperlukan bukan sahaja bagi menolong rakyat untuk
mendapatkan pendapatan boleh guna ,tetapi juga akan mewujudkan kecairan
dalam pasaran yang diperlukan oleh sektor peruncitan, wang bertukar
tangan dan mewujudkan kesan berganda pada ekonomi negara,” katanya.
Abdul Rahim berkata adalah diketahui bahawa sektor peruncitan terjejas teruk akibat kesan pandemik COVID-19.
Darurat kesihatan yang
tidak pernah berlaku dahulu ini telah menguncupkan aliran tunai di
pasaran akibat ramai rakyat tempatan kehilangan sumber pendapatan dan
ditambah lagi dengan lenyapnya berbilion ringgit pendapatan dari
pelancong luar negara akibat kemerosotan sektor perkhidmatan
pelancongan, katanya.
Beliau berkata bagi
membangunkan semula ekonomi, ia akan memerlukan masa kerana gelombang
pandemik virus ini menjejaskan semua pihak di seluruh dunia dan diharap
dapat diredakan dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun dan semua
sektor dapat dipulihkan semula.
Menerusi i-Lestari,
pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh
12 bulan dari Akaun 2 masing-masing. — Bernama
About
Editor Akhbar Rakyat
0 comments:
Catat Ulasan