Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Semasa mencari buku di rak terserempak dengan sebuah buku lama
bertajuk “Negara Islam Antara Realiti Dan Cabaran (2004), Dewan Ulama
Pas Pusat. Oleh kerana bidang perlembagaan ini adalah bidang kajian di
UIA dahulu maka secara automatik tangan mengambil buku ini dan membelek
isi kandungannya.
Antara yang pernah menjadi polemik dahulu adalah Malaysia ini negara
Islam atau negara umat Islam atau negara sekular. Apakah pula isi
kandungan negara Islam?
“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di dalam bukunya “Sistem
Pemerintahan Negara Islam”, meletakkan prinsip yang utama dalam sesebuah
Negara Islam ialah hanya hukum Allah yang ditegakkan, syura, keadilan,
kebenaran (al-haq), kebebasan dan persamaan” (hlm 20).
“Perlu diketahui bahawa syirik yang menjadi dosa paling besar dan
sangat dimurkai itu bukan sahaja menyembah berhala, tetapi juga memuja
manusia, malaikat, jin dan makhluk-makhluk lain yang seperti menyembah,
memuji dan memuja Tuhan, menerima dan memakai hukum dan undang-undang
ciptaan manusia mengangkatnya setaraf atau ideologi ciptaan manusia dan
berjuang untuk menegakkannya.” (hlm 22)
“Tasawwur Negara Islam menurut Pas ialah negara yang menghayati
tuntutan Islam yang sebenar…Antara gambaran negara Islam …3.1.6 – Dengan
perlaksanaan Hukum Allah SWT, termasuk hukum hudud,..” (hlm 56)
“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, negara hendaklah mengucap dua
kalimah syahadah melalui peruntukan perlembagaan dengan cara memasukkan
peruntukan khusus bahawa undang-undang tertinggi dalam negara ialah
Undang-Undang Islam. Oleh kerana Malaysia tidak meletakkan al-Quran dan
As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi negara membuktikan ianya bukan
sebuah negara Islam.” (hlm 69)
Ulasan:
Satu ketika dahulu ramai pihak yang begitu taksub dengan slogan
Negara Islam. Kini slogan tersebut sudah tidak kedengaran malah hendak
disebut pun sekarang sudah jadi segan dan kesipuan. Kalaulah negara
Islam itu akidah, sama seperti mengucap dua kalimat syahadat maka
wajiblah menyebut perkataan ‘negara Islam’ itu setiap hari. Tambahan
lagi, kalau ikutkan tafsiran di atas maka Malaysia bukanlah Negara Islam
dan umat Islam sama sekali tidak boleh bersekongkol menjadi menteri
bagi sebuah negara bukan Islam, apatah lagi ianya dianggap sebagai
syirik sama seperti menyembah berhala.
Bukankah undang-undang sekarang ini sama seperti undang-undang
dahulu? Bukankah perlembagaan sekarang ini sama seperti perlembagaan
tahun 1957 yang didrafkan oleh Lord Reid?
Bukankah perlembagaan Malaysia
tidak pernah disyahadahkan? [Konsep negara kena bersyahadah juga konsep
yang aneh kerana negara tidak ada taklif untuk ke syurga atau ke
neraka.]
Kesimpulan, beberapa petikan di atas menunjukkan konsep negara Islam
yang dibawa itu tidak cerap ke bumi. Ianya hanya indah ditulis, dibahas,
diseminarkan dan dioles untuk berceramah. Buktinya, ramai yang
mendokong konsep negara Islam seperti dalam buku di atas itu kini telah
menjadi menteri dan timbalan menteri. Jika ianya berdosa sama seperti
syirik menyembah berhala maka tentu sekali mereka tidak sanggup untuk
sama-sama dalam mengekalkan ‘perlembagaan penjajah’ seperti sekarang.
Justeru, kesilapan pemahaman terhadap “Negara Islam” perlu
diperbetulkan kerana jika ianya tidak diperbetulkan boleh menyebabkan
ramai orang terpesong daripada makna sebenar pemerintahan Islam dan
bagaimanakah sepatutnya seorang Muslim itu berfungsi dalam sesebuah
negara sebagai pemimpin. Secara praktiknya, politik itu anjal dan Islam
tidak pernah meletakkan apa-apa model yang Islamik sama ada sistem
khalifah, monarki atau demokrasi. Sesuatu negara tidak perlu dijenamakan
sebagai negara Islam atau negara bukan Islam.
Dalam hal ini memadailah kita menggunapakai standard bagi orang yang
menjadi pemimpin seperti yang ditetapkan dalam Surah Al-Hajj: 41 “Iaitu
mereka yang jika kami berikan mereka kekuasaan di bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebajikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara
mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan