Muhyiddin akan berdepan 'masalah yang sangat besar', kata Dr M

Pengerusi Bersatu Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berdepan "masalah yang sangat besar".

Jelas Mahathir, ini kerana, beliau akan berusaha untuk membuktikan "ketidaksahihan" kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Mahathir berkata demikian ketika mengulas sokongan ahli parlimen terhadap presiden Bersatu itu berdasarkan susunan kerusi sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

"Itu adalah majoriti paling tipis pernah dimiliki oleh kerajaan di Malaysia.

"(Muhyiddin) akan berdepan masalah yang sangat besar. Kerana apa pun peluang yang ada untuk kita membuktikan bahawa tidak sah baginya untuk menjadi perdana menteri, kita akan melakukannya," katanya dalam wawancara dalam talian bersama Reuters.

Kenyataan itu hadir ketika konflik dalaman Bersatu terus menyaksikan Mahathir dan Muhyiddin tidak sefahaman berhubung hala tuju parti mereka.

Muhyiddin pada Feb lalu membawa Bersatu keluar Pakatan Harapan yang menyaksikan kerajaan ketika itu tumbang.

Muhyiddin seterusnya membawa Bersatu serta sekumpulan bekas ahli parlimen PKR menubuhkan kerajaan PN dalam gabungan baru bersama BN, PAS dan beberapa parti lain.

Susulan itu, Mahathir menghantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan pada sesi parlimen 18 Mei lalu yang diterhadkan bagi titah diraja.

Berdasarkan susunan 222 kerusi di Dewan Rakyat pada sidang berkenaan, 114 menyokong Muhyiddin, iaitu hanya dua kerusi majoriti.

Sementara itu, laporan Reuters turut memetik Mahathir sebagai berkata bahawa pembangkang akan menolak sebarang rang undang-undang yang dibawa pentadbiran Muhyiddin di parlimen sekiranya undi tidak percaya tidak dibentangkan.
"Jika semua yang dibawanya ke parlimen ditolak, bagaimana dia mahu teruskan (sebagai perdana menteri)," kata Mahathir.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan