Peguam persoal mandat Muhyiddin bawa Bersatu sertai PN

Seorang peguam kanan mempertikaikan mandat yang ada pada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, untuk membawa parti itu memeterai memorandum persefahaman dengan parti lain bagi membentuk Perikatan Nasional (PN).

Menurut Haniff Khatri Abdulla beliau membangkitkan isu berkenaan kerana lembaga disiplin Bersatu dilaporkan sedang meneliti dua aduan terhadap Muhyiddin mengenai tindakannya membawa parti terbabit meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan PN.

Aduan pertama, katanya mengenai mandat daripada ahli melalui mana-mana mesyuarat agung, mesyuarat tergempar atau Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk meninggalkan PH.

"Begitu juga aduan kedua terhadap tiadanya mandat pada fraksi presiden untuk menubuhkan kerajaan pada 1 Mac daripada ahli-ahli mahu pun MPT," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

Dengan dua aduan berkenaan, kata Haniff Khatri, ada sebab untuk membangkitkan persoalan mandat pada Muhyiddin untuk menyertai sebarang perjanjian persefahaman bagi menubuhkan PN.
"Ini satu persoalan serius yang perlu diambil kira oleh kesemua pihak terbabit," katanya lagi.

Beliau juga menambah persoalan tersebut dikemukakan kerana bimbang ia akan mengundang tanda tanya kepada anggota Bersatu mengenai mandat Muhyiddin mahu mendapatkan sokongan daripada BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Rakaman audio mesyuarat bocor 

Semalam pemimpin tertinggi enam parti mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyatakan sokongan mereka kepada cadangan penubuhan PN secara rasmi.

Ia ditandatangani Muhyiddin sendiri sebagai presiden Bersatu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Pengerusi GPS, Abang Johari Openg; Presiden PBS , Maximus Johnity Ongkili; dan Presiden Star, Jeffrey Kitingan.

Untuk rekod PN hanya muncul selepas Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan PH ekoran Langkah Sheraton yang turut menyaksikan sebahagian pemimpin PKR berpaling tadah.
Mereka kemudian bekerjasama dengan Umno dan PAS. Ia kemudian membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Bagaimanapun Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, serta segelintir yang lain tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin. Ia kemudian membawa kepada perpecahan dan krisis dalam parti tersebut.

Beberapa pihak dalam Umno pula mengingatkan bahawa PN bukanlah sebuah badan yang rasmi atau berdaftar.
Minggu lalu Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya 15 pemimpin dan anggota Bersatu menulis surat kepada lembaga disiplin parti berkenaan untuk menuntut agar Muhyiddin diambil tindakan kerana didakwa bertindak daripada majoriti ahli semasa meninggalkan PH.

Ia dibuat susulan terbocornya rakaman audio mengenai mesyuarat MPT Bersatu yang bersetuju memberikan mandat kepada Mahathir - selaku pengerusi - untuk menentukan sama ada mereka wajar kekal bersama PH atau tidak.

Menurut Haniff Khatri beliau memperkatakan isu mandat itu sekarang kerana bimbang ia akan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan anggota serta pemimpin parti lain mengenai keabsahan perjanjian berkenaan.

Pada masa sama beliau juga percaya semua pihak sepatutnya melakukan 'gencatan'' kerana negara sedang berdepan ancaman Covid-19, selain bersempena Ramadan.

"Di kala negara dilanda gejala Covid-19, saya percaya semua pihak sama ada parti politik mahupun Bersatu - semasa mengendalikan parti secara dalaman - lakukanlah gencatan pergerakan politik.

"Saya percaya pada bulan yang baik ini (Ramadan) perkara ini dapat dilihat dengan objektif dan rasional," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan