Setelah Anaknya 'DiPancung'', Apa Langkah Mahathir Seterusnya.
Oleh Shabudin Husin
Mukhriz Mahathir kini sah sudah hilang sokongan majoriti untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Kedah.
Selepas dua Adun PKR mengisytiharkan diri mereka menjadi Bebas dan menyokong PN yang menjadi kerajaan di peringkat Pusat, difahamkan ada empat lagi Adun Bersatu juga turut berbuat demikian.
Dengan yang demikian, dalam waktu terdekat ini sudah pasti Kedah akan memperolehi seorang Menteri Besar baru.
Berikutan Pas mempunyai jumlah kerusi terbanyak iaitu 15, adalah dijangkakan calon Menteri Besar adalah daripada parti tersebut.
Menjelang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad di Sidang Parlimen 18 Mei depan, terpecatnya Mukhriz ini menunjukkan Muhyiddin Yassin tidak berdiam diri dalam usaha untuk mempertahankan kedudukannya.
Oleh kerana Tun Mahathir ingin menjatuhkannya melalui usul undi tidak percaya, Muhyiddin telah lebih dulu menumbangkan Mukhriz, anak kepada Mahathir.
Jatuhnya Mukhriz ini bukan saja memperlihatkan Muhyiddin sedang bersungguh untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, bahkan juga untuk mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Bersatu yang akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah itu dalam pemilihan parti yang dijangka diadakan dalam suku ketiga tahun ini.
Tanda kedudukan sebagai Menteri Besar, harapan Muhyuddin ternampak lebih cerah untuk mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Bersatu dalam pertembungan dengan Mukhriz nanti.
Muhyiddin mungkin hanya tidak mampu mempertahankan jawatannya itu jika beliau berjaya ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya oleh Tun Mahathir.
Dalam usahanya ini, Muhyiddin nampaknya mendapat sokongan dan bantuan daripada Azmin Ali kerana dua Adun yang mengisytiharkan diri mereka menjadi Bebas itu memang dikenali sebagai “geng kartel” dalam PKR.
Hanya setelah dua Adun PKR Itu mengumumkan menjadi Bebas, barulah ia diikuti oleh empat Adun Bersatu kemudiannya.
Tetapi, apa yang baiknya dengan tersungkurnya Mukhriz ini ialah ia dengan sendirinya memadam khabar-khabar angin yang mengatakan usul undi tidak percaya Tun Mahathir terhadap Muhyiddin hanya suatu drama semata-mata.
Diperkatakan di merata-rata sebelum ini bahawa kononnya usul undi tidak percaya itu hanyalah taktik Tun Mahathir untuk mengesahkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seterusnya untuk menghalang kemaraan Anwar Ibrahim.
Kini dengan anaknya sendiri “dipancung” oleh Muhyiddin menjelang seminggu sebelum usul undi tidak percaya dibentangkan, tentulah tidak masuk akal apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir itu hanya suatu drama semata-mata.
Permusuhan Tun Mahathir dengan Muhyiddin sekarang ini bukan saja sesuatu yang tidak main-main, malah menunjukkan Muhyiddin satu-satunya musuh politik yang berani bertindak “paling kejam” terbadap bekas Perdana Menteri itu.
Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri tidaklah sampai hati bertindak terhadap Tun Mahathir sepertimana yang Muhyiddin lakukan sekarang ini.
Muhyiddin bukan saja “memancung” anak Tun Mahathir daripada jawatannya, malah sebelum ini telah cuba mengadakan mesyuarat Bersatu tanpa memanggil dua beranak itu serta ingin memecat mereka daripada Bersatu.
Walaupun mesyuarat itu telah ditangguhkan, tetapi difahamkan Muhyiddin tidak pernah menangguhkan keinginannya untuk membuang Tun Mahathir dan Mukhriz daripada Bersatu.
Bellau dikatakan hanya menunggu detik dan waktu yang sesuai saja untuk meneruskan hasratnya itu selepas ini.
Meskipun demikian, Tun Mahathir yang sebelum ini ibarat “harimau luka” kerana dikhianati oleh Muhyiddin yang telah memintasnya merebut kerusi Perdana Menteri, tentunya kini bertambah sakit hati apabila anaknya, Mukhriz pula dijadikan korban oleh Muhyiddin.
Beliau tentu saja tidak akan berdiam diri dan pasti melipat-gandakan lagi usaha untuk menumbangkan Muhyiddin pada undian usul tidak percaya Isnin depan nanti.
Apakah langkah dan tindak balas seterusnya daripada Tun Mahathir?
Yang pasti, menjelang 18 Mei ini, drama pergelutan politik antara Tun Mahathir dengan Muhyiddin tentu akan menyaksikan babak-babak baru yang lebih mendebarkan lagi.
Ini kerana Tun Mahathir adalah seorang yang tidak pernah mengalah apabila ditekan dan kerapkali beliau akan menjadi lebih cergas, tambah kreatif serta kian bertenaga setiap kali bertambah asakan diberikan kepadanya.
Apakah nasib Tun Mahathir kali ini, mampukah beliau menjadikan seorang lagi Perdana Menteri sebagai mangsanya atau beliau yang akan menjadi korbannya?
0 comments:
Catat Ulasan