Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada tempoh moratorium
enam bulan untuk bayaran pinjaman yang diumumkan yang bakal berakhir
pada September 2020.
ABIM beranggapan moratorium ini telah
memberi kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) khususnya apabila aktiviti ekonomi tidak dapat
bergerak.
Namun, ABIM khuatir rakyat masih belum bersedia untuk
menghadapi fasa selepas tempoh moratorium berakhir untuk membayar semula
komitmen pinjaman terutama golongan pekerja yang telah dibuang
pekerjaan dan hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19.
Justeru,
ABIM menyarankan supaya tempoh moratorium ini dilanjutkan ke tempoh
yang bersesuaian selari dengan indokator keberhasilan pakej Pelan Jana
Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Berdasarkan
statistik, kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus
atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020.
Selain itu,
unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020 menunjukkan kadar
pengangguran dijangka akan terus meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih
860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.
Berdasarkan
dokumen yang dinyatakan di dalam PENJANA, Program Insentif Pengambilan
Pekerja telah diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion. Ia adalah bagi
menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan untuk memberi pekerjaan
kepada golongan penganggur dan belia.
Selain itu, terdapat juga
beberapa inisiatif lain termasuklah program latihan dan penempatan,
program peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri dan
lain-lain yang berkaitan untuk memastikan rakyat mendapat pendapatan.
Walaubagaimanapun,
ABIM berpandangan program-program untuk memberi semula pekerjaan buat
rakyat yang telah diberhentikan kerja ini harus mempunyai tempoh sasaran
keberhasilan yang jelas dan tepat, dalam masa sama tempoh sasaran
kejayaannya harus selari dengan inisiatif meringankan bebanan komitmen
rakyat termasuk tempoh moratorium.
Ini penting kerana ABIM
merasakan waktu yang amat sesuai untuk ditamatkan tempoh moratorium
adalah selepas ekonomi rakyat dapat diberdayakan sebaiknya berdasarkan
petunjuk dari hasil perancangan pakej-pakej ekonomi yang dicadangkan
kerajaan.
Dalam pada itu, ABIM juga menyarankan agar pihak
kerajaan melanjutkan insentif lain yang turut penting seperti subsidi
upah kepada majikan oleh Perkeso hingga Disember tahun ini untuk
memastikan majikan dapat meneruskan penggajian pekerja sedia ada dalam
situasi ekonomi yang tidak menentu.
Menerusi pelanjutan inisiatif
sebegini, ia dapat membantu kerajaan mencapai garis hala tuju ekonomi
semasa khususnya bagi memastikan isu pengangguran dapat dibendung dengan
baik seterusnya merancakkan kembali aktiviti ekonomi secara sistematik
apabila rakyat beroleh pendapatan.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan