Isu pembebasan Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan
wang haram minggu lalu terus menjadi buah mulut masyarakat dan
mengundang reaksi pemimpin politik.
Terbaharu, Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan
keputusan pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap bekas
ketua menteri Sabah itu mengecewakan rakyat khususnya mereka yang mahu
Malaysia yang lebih bersih dan telus.
Peristiwa itu juga, kata pakar Perlembagaan itu, seakan-akan
menghidupkan semula apa yang pernah dilakukan oleh pentadbiran
kleptokrasi bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu membabitkan
skandal 1MDB.
Malah tambahnya, ini juga menandakan pentadbiran Perikatan Nasional
(PN) adalah agen penerus dasar dan kepentingan regim kleptokrat yang
telah ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Ini sangat memalukan dan mengecewakan.
“Sudahlah pentadbiran PN masuk ikut pintu belakang dan takut ke
Parlimen, sekarang mereka meneruskan keputusan melepaskan pencuri dan
perasuah.
“Ini memberi isyarat bahawa akan ada lagi keputusan sedemikian dalam masa terdekat,” katanya
Katanya, kerajaan PN mengambil langkah keterbelakang selain
mengenepikan agenda reformasi dan usaha mengangkat institusi penting
negara yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Lebih parah lagi penjenayah dan perasuah akan bermaharajalela,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Perak.
Selasa lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Musa daripada
semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak
konsesi balak di Sabah.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas
diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa
pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.
Dalam pada itu, peguam, Syahredzan Johan berkata, keputusan pihak
pendakwaan menarik kes tersebut sedikit sebanyak menghakis kepercayaan
rakyat terhadap komitmen kerajaan PN dalam melawan rasuah.
“Saya rasa dari sudut sistem kehakiman jenayah juga, ia ada membawa persepsi negatif,” katanya k
Katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, pihak pendakwaan perlu merayu keputusan tersebut.
“Pada saya, pihak pendakwaan sekurang-kurangnya wajar merayu terhadap
keputusan lepas dan bebas (discharge and acquit) yang dibuat oleh
Hakim.
“Setahu saya, pendakwa raya mohon ‘dibebas tanpa dilepaskan’ (DNAA), tetapi diberikan lepas dan bebas.
“Rayuan ini penting kerana sekiranya terdapat apa-apa bukti selepas ini, tertuduh tidak boleh dituduh semula,” jelasnya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan