Caranya Umno habisi Bersatu

MASALAH Umno sekarang ialah Bersatu. Mereka bersaing. Kedua-duanya parti perkauman Melayu.

Penghalang Umno untuk kembali merebut jawatan perdana menteri (PM), juga Bersatu. Bukan PAS, kerana PAS tidak kuat.

Sampai kiamat pun, tidak ada tanda bagi pemimpin PAS untuk menjadi PM. PAS hanya perkakas sementara untuk menongkat Umno dari rebah, tempoh hari – sama seperti PAS yang berada dalam kerajaan Perikatan dahulu (1973-77).

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, PAS pernah bertanding di bawah logo Barisan Nasional (BN). Menang 14 kerusi. Hari ini PAS ada 18.

Sebagai perbandingan, PAS hari ini yang kononnya bersama Umno dan sebahagian kerajaan adalah PAS yang sebenarnya tidak lebih kuat berbanding era awal 1970-an.

Peratusan ahli Parlimen PAS dulu dan kini adalah sekitar 8-9%. Tidak lebih daripada itu.

Apabila Umno kembali kuat nanti, tiada jaminan PAS akan dikekalkan. PAS boleh dinyah keluar sepertimana PAS ditendang daripada BN pada 1977.

Alasan menendang PAS boleh apa-apa pun. Alasan tidak susah untuk dicari. Macam boleh dipungut di tepi longkang – begitulah darjat PAS pada mata Umno, seperti yang pernah terpapar dalam sejarah politik Malaysia lebih 40 tahun lalu.

Mungkin selepas kembali ditendang keluar, pemimpin PAS akan menjual kereta mewah untuk balik menghafal Quran. Gunanya ayat Quran ialah buat modal dalam ceramah lepas Isyak.

Derma tong biskut pun dilancarkan semula atas nama “perjuangan Islam”. Sesiapa yang ada tanah juga boleh mewakafkannya untuk dijadikan markas atau tadika Pasti.

Oleh kerana Umno tahu nilai PAS di bawah 10% tadi, justeru masalahnya memang bukan PAS. Masalah bagi Umno ialah Bersatu.

Kalau Bersatu dapat dihabisi, maka Umno boleh kembali mengambil posisi sebagai parti yang mendominasi politik Malaysia – melalui sentimen Melayu. Umno mahu kembali menjadi parti paling berkuasa.

Bagi tujuan itu, ada dua jalan yang boleh dipilih.

Pertama mencekik Bersatu dalam PRU. Jangan kasi Bersatu banyak kerusi.

Umno tentu tahu, Bersatu menyasarkan lebih kurang 50 kerusi Parlimen untuk “dirundingkan”. Di mana dan bagaimana rundingan itu perlu berlangsung, wallahu’alam! Tidak pasti.

Ketidakpastian itu disebabkan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri tidak ada struktur atau apa-apa badan tertinggi.

PN bukan sebuah ikatan yang sah dan didaftarkan. Meski disebut di mulut, “PN, PN, PN,” tetapi tidak wujud secara hitam putih di atas kertas.

PN sudah jadi macam cerita perjanjian jual beli tanah zaman Jepun di kampung-kampung. Semuanya main pakai mulut. Ambil duit, tapi tidak bertulis.

Akhirnya akan ada satu pihak yang rugi atau merasa tertipu. Biasanya tuan tanah merasa teraniaya kerana waktu menjual tanah, dia terdesak hendak pakai duit. Konon begitulah.

Mujur sahaja belum tukar nama dalam geran. Maka tuan tanah pun buat bodoh apabila pembeli bertanya bila dia boleh mendapatkan geran tanah untuk menukar nama.

Begitulah ibaratnya perjanjian yang wujud dalam PN sekarang. Semua pakai janji mulut.

Perbincangan “jual-beli” pun nampaknya hanya dilakukan di rumah Muhyiddin Yassin. Paling-paling pun, dalam jamuan makan malam di tempat-tempat mewah yang tersembunyi. Berkomplot lima-enam orang.

Sampai hari ini, PN tidak ada logo. Tidak ada pejabat. Tidak ada nombor telefon. Bahkan tidak ada email. Kerajaan ini adalah kerajaan “asal aku jadi menteri”.

Sebaliknya kalau PN berdaftar, boleh mendatangkan bahaya pula kepada Umno. Pendaftaran PN akan membuatkan Umno terikat dengan segala bentuk perjanjian rasmi.

Kalau boleh, Umno tidak mahu wujudnya apa-apa perjanjian berikat dengan Bersatu.

Wujudnya perjanjian rasmi, kelak sukar nanti untuk menghabisi Bersatu – sedangkan Bersatu tidak lebih adalah sekutu sementara.

Lagi cepat Bersatu mati, lagi bagus sebenarnya untuk Umno. Perjanjian rasmi  dalam badan yang rasmi hanya satu pengikhtirafan Umno kepada Bersatu.

Sebab itulah, dalam sidang Dewan Rakyat minggu sudah, meski anggota Parlimen Umno dilihat mempertahankan Muhyiddin, menyebutkan nama Bersatu, sekali pun tidak!

Ketika hiruk-pikuk menyokong Muhyiddin, pemimpin Umno tetap mendesak agar Muhyiddin mengadakan PRU mengejut secepat mungkin.

Di situlah nantinya, Bersatu mahu dikebumikan.

Tatkala Muhyiddin membubarkan sahaja Parlimen untuk mengadakan PRU, Umno sedar keperitan sejak 9 Mei 2018 akan benar-benar berakhir. Sekarang sakit kalah PRU14, masih belum pulih sepenuhnya.

Jalan lain untuk menimbus Bersatu ialah dengan memancing Muhyiddin kembali ke pangkuan Umno. Diangkat terus menjadi presiden.

Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur. Mohamad Hasan kekal sebagai timbalan presiden dan Najib Razak sudah boleh bersara terus.

Kalau nasib Najib tidak ke penjara pun sudah kita baik. Tidak dapat gelaran “Tun”, pun tidak mengapalah!

Waktu itu, jadilah Bersatu seperti Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang kembali ke pangkuan Umno.

Jalan kedua ini nampaknya lebih baik, di mana Bersatu tidak kelihatan menjadi parti yang terlalu hina-dina; dan, Umno dapat kembali menjadi Umno sepertimana semula.

Apabila waktu itu sampai, PAS pun sudah boleh siap-siap untuk bungkus kain baju. Kembali berceramah. Mencerca Umno munafik, kafir dan sebagainya.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan