Tabik untuk bekas speaker Mohamad Ariff

Oleh Zunar

 PEMECATAN Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof merupakan episod terburuk dalam sejarah demokrasi berparlimen di negara ini. Ini kerana Mohamad Ariff adalah seorang yang independen dan watak begini sangat diperlukan negara.

Beliau seorang yang tegas berpegang kepada peraturan serta menjunjung tinggi undang-undang dan perlembagaan.

Selama sepuluh tahun terakhir Barisan Nasional (BN), saya sentiasa berhadapan dengan undang-undang hasutan dan Mohamad Ariff adalah hakim ketika itu. Untuk rekod, sebelum dilantik sebagai speaker beliau pernah menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sehingga bersara pada tahun 2015.

Kita semua maklum, selepas pemecatan Ketua Hakim Negara Salleh Abas pada tahun 1988, bidang perundangan di Malaysia telah menjadi lemah dan dimandulkan. Sejak itu amat sukar bagi kita untuk menemui hakim-hakim yang independen, sebaliknya ramai hakim yang ada cenderung membuat keputusan mengikut selera pemerintah. Ini jelas boleh dilihat dalam kes Anwar Ibrahim dan kes-kes politik lainnya.

Kerajaan BN terutama pada period 2010 hingga 2016 menekan keras kegiatan seni saya. Enam undang-undang digunakan untuk mengekang karya-karya kartun saya. Saya juga telah beberapa kali ditangkap dan buku-buku kartun saya diharamkan.

Ketika buku 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun diharamkan pada tahun 2011, saya mencabarnya dengan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi. Keputusannya, saya kalah dan mahkamah menyatakan pihak Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia bertindak betul dengan mengharamkan buku-buku tersebut (seperti sangkaan saya).

Tetapi saya terus membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tindakan ini dibuat hanya sekadar untuk memberi kesedaran kepada rakyat betapa kebebasan suara kartunis terancam.

Saya tidak pernah menaruh sebarang harapan untuk menang kerana menyedari tidak ramai hakim yang berani mempertahankan undang-undang dalam sebuah rejim zalim.

Tanpa disangka, Mohamad Ariff bersama dua lagi hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mengarahkan kerajaan menarik balik pengharaman buku saya dan polis juga diarahkan memulangkan buku-buku dan lukisan saya yang dirampas.

Dalam hati saya berkata, “Waah, masih ada hakim yang independen dan berani mempertahan keluruhan undang-undang!”

Pengalaman saya bersama Mohamad Ariff tidak berakhir di situ. Dalam kes lain, ketika mencabar penangkapan saya di bawah Akta Hasutan, ceritanya hampir sama.

Pada mulanya, saya kalah di Mahkamah Tinggi dan diteruskan dengan merayu. Di peringkat Mahkamah Rayuan, Mohamad Ariff juga yang mengambil kes tersebut.

Dalam keputusan, Mohamad Ariff bersama dua hakim lain menolak cabaran saya dan menyatakan pihak polis berhak menangkap saya dari segi undang-undang atas alasan mensyaki dan bertujuan untuk menyiasat.

Jelas sekali, dalam satu kes beliau menyalahkan kerajaan dan dalam kes yang lain, beliau memenangkan kerajaan – semuanya tergantung kehendak undang-undang.

Itulah ciri-ciri hakim yang bagus – sentiasa memihak kepada keluhuran undang-undang.

Dalam hati saya berkata, hakim sebagus ini patut diberi pengiktirafan dan wajar dilantik sebagai ketua hakim negara agar maruah badan kehakiman dapat dipulihkan semula.

Tetapi ini tidak mungkin berlaku dalam rejim ini. Tepat sekali, jawatan tertinggi yang disandang Mohamad Ariff sebelum bersara ialah hakim Mahkamah Rayuan.

Sepanjang mengendali Parlimen sama ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ariff tetap menunjukkan peribadi sebagai seorang yang  tidak bias atau berat sebelah.

Tindakan-tindakannya tidak menyebelahi kerajaan atau pembangkang, sebaliknya sentiasa menyebelahi undang-undang.

Malang sekali orang sebagus ini dianggap persona non grata (atau orang yang tidak dikehendaki) oleh PN.

Nampaknya seperti juga hakim independen tidak kehendaki BN, speaker independen juga tidak dikehendaki PN. Biar begitu, Mohamad Ariff, nama anda tetap harum dan peribadi anda disanjung tinggi.

Biar dipecat, anda tetapi berjalan tegak. Sebuah tabik spring saya berikan
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan