Adakah slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang digunakan dalam kempen
kesedaran tentang minyak sawit keluaran Malaysia menyasarkan warga
Malaysia atau masyarakat antarabangsa?
Itu soalan mantan Menteri Industri Utama, Teresa Kok kepada Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.
Teresa berkata, sekiranya ia merupakan kempen yang menyasarkan
masyarakat antarabangsa, maka slogan bagi kempen penerangan sawit
tersebut haruslah kekal ‘Love MY Palm Oil’ atau ‘Sayangi Sawitku’.
“Ia tidak haruslah bertukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun
pertukaran menteri demi menunjukkan kesinambungan mesej di masyarakat
antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini
dilaporkan menjenamakan semula kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada nama
baharu iaitu ‘Sawit Anugerah Tuhan’.
Jelas Teresa, meskipun berasa lega kempen kesedaran minyak sawit
keluaran Malaysia yang dimulakan beliau diteruskan kerajaan hari ini,
namun beliau kesal apabila slogan ‘Sayangi Sawitku’ diubah kepada ‘Sawit
Anugerah Tuhan’.
Sawit sememangnya anugerah tuhan kepada dunia, katanya, tetapi
apabila kempen ‘Sayangi Sawitku’ dilancarkan, ia tidak menyasarkan warga
Malaysia sahaja.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, beliau juga
menjalankan kempen yang menyasarkan warga asing dan masyarakat
antarabangsa dari Malaysia, iaitu ‘from Malaysia, we speak to the
world’.
“Itu sebab kami mewujudkan slogan dalam bahasa Inggeris ‘Love MY Palm
Oil’, MY bermaksud Malaysia. Slogan dalam bahasa Inggeris ini untuk
‘sambil menyelam minum air’,” ujarnya.
Beliau memberitahu, minyak sawit dan produk sawit merupakan eksport
negara yang ketiga besar dan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit
Malaysia adalah persepsi negatif dunia terhadap minyak tersebut.
Tambahnya, industri sawit dan kerajaan tidak mempunyai dana yang
cukup untuk menjalankan publisiti dan penerangan tentang minyak sawit
kita di seluruh dunia.
Oleh itu, beliau menjelaskan, pihaknya melancarkan kempen ‘Love MY
Palm Oil’ untuk memberi penerangan tentang sawit dari Malaysia ke
seluruh dunia.
“Sekiranya tidak berlakunya pertukaran kerajaan daripada Pakatan
Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) dalam Februari tahun ini, Majlis
Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan saya memang telah berancang untuk
mengadakan kempen ‘Sayangi Sawitku’ di seluruh negara bersama dengan
program Tahun Melawat Malaysia 2020 oleh Kementerian Pelancongan.
“Ini adalah supaya pelancong asing yang datang ke Malaysia boleh
mendapat maklumat tentang kebaikan sawit di Malaysia,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan