Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan PRK itu menunjukkan populariti Mahathir semakin lemah, sementara Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat calon Pejuang hanya mendapat 1/3 daripada undi diperoleh PH pada 2018.
Awang Azman berkata, Mahathir amat popular pada suatu ketika kerana sokongannya kepada Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan perdana menteri, tetapi popularitinya semakin merosot ketika beliau menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri.
Sebilangan besar penyokong PH, menolak Mahathir kerana marah dan kecewa.
“Sekiranya mereka bergabung dengan PH, tetapi tidak bersetuju mengenai perkara asas seperti pencalonan Anwar, maka Mahathir dan Pejuang akan dianggap hanya memecah-belahkan PH. Oleh itu, PH harus menolak Mahathir dan Pejuang,” katanya.
Jika PH memilih untuk menolak Mahathir dan partinya, ini boleh menjadi “pengakhiran” kepada parti itu, kata Awang Azman.
Pejuang perlu keluar daripada bayangan Mahathir jika parti itu benar-benar ingin membuat percaturan politik, yang boleh dilakukan dengan memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk menyuarakan pandangan mereka dan menentukan arah tuju parti.
Muafakat lonjak BN, Pejuang hilang pengundi PH
Azmi Hassan berkata, majoriti besar BN pada PRK itu dibantu oleh gabungan Muafakat Nasional (MN) Umno dan PAS, sementara calon Pejuang hanya mendapat sekitar 1/3 undi yang diperoleh PH pada 2018.
Katanya, itu adalah isu yang Mahathir perlu lihat, sambil menambah pemimpin PH tidak bersungguh-sungguh berkempen untuk calon yang disokong Pejuang, mungkin menjadi salah 1 sebab utama ianya suram.
“Saya rasa Pejuang harus bersama PH, dan bukan hanya menjadi parti bebas yang mesra PH, kerana ia nampaknya tidak berjaya di Slim.
“Bebas daripada PH akan memperoleh undi simpati orang Melayu, itu objektif utama Pejuang. Tetapi hasil pada PRK jelas menunjukkan strategi itu gagal, sebagaimana PPBM gagal menentang Umno pada pilihan raya 2018,” katanya.
Pejuang tidak boleh bersendirian. Ia memerlukan sokongan bukan Melayu. Bergabung dengan PH akan menjamin mereka mendapat sokongan DAP dan PKR, kata Azmi.
Pada PRK Slim, calon BN Mohd Zaidi Aziz dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) baru.
Beliau memperoleh 13,060 undi dengan majoriti 10,945 berbanding calon bebas disokong Mahathir, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mendapat 2,115 undi.
Kemenangan BN memulihkan semula penampilannya yang suram pada pilihan raya 2018 apabila mengekalkan kerusi itu dengan majoriti hanya 2,183.
0 comments:
Catat Ulasan