Aminolhuda berkata, sebelum tular video isu dipercayai Osman berkempen untuk calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini, Osman sendiri sudah mengadakan pertemuan dengan rakan daripada pimpinan PH Johor.
“Kita alu-alukan sekiranya ada keperluan untuknya kembali dengan PH dan membentuk kerajaan, dengan syarat tubuh kerajaan dengan lebih mantap secara bersama dan lebih baik memandangkan kita sudah tubuh kerajaan sebelum ini.
“Dia memang ada berhubung dengan rakan kita di peringkat PH dan sudah ada pertemuan, memang ada pertemuan,” katanya kepada FMT, namun enggan mendedahkan butiran pertemuan itu lebih mendalam.
Dalam video itu, Osman mengakui masih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas atas tiket PPBM dan ahli PPBM namun mendakwa parti tersebut menyeleweng daripada perjuangan asalnya.
Osman mendakwa, kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan itu tiada kaitan dengan politik.
Aminolhuda berkata, tidak dinafikan jika benar Osman berhasrat untuk kembali bersama PH, akan menyebabkan kemungkinan DUN Johor tergantung memandangkan mempunyai jumlah bilangan Adun yang sama antara Perikatan Nasional (PN) dan PH.
“Sebab itulah saya ajak rakan-rakan yang pernah bersama dengan PH duduk di sini kembali, sebab kita sebelum ini sudah lalui susah dan senang bersama, lebih jelas kita tubuh kerajaan secara bersama dan dalam suasana rakyat boleh terima kita dengan rela hati.
“Lebih baik juga kalau mereka (wakil rakyat PPBM) datang kembali bersama dengan kita, dalam 4 hingga 5 orang, lebih baik dari seorang. Ada kemungkinan juga Osman tidak gembira dengan PN,” katanya.
PPBM Johor hari ini memberitahu, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung tindakan terhadap Osman susulan video tular dipercayai berkempen untuk calon bebas ketika PRK DUN Slim.
Pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang berkata, pihaknya di peringkat perhubungan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar peraturan parti.
0 comments:
Catat Ulasan