Selepas 63 tahun merdeka: Mengapa masih ada rasa benci?

Oleh Terence Naidu


Semenjak kemerdekaan tanah air yang kita semua cintai 63 tahun yang lalu, saya merasa ketegangan dalam hubungan kaum serta permainan politik keagamaan yang semakin menjadi-jadi.

Malah, lebih buruk lagi, isu-isu ini dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang sepatutnya bertanggungjawanb menjaga hubungan baik antara kaum dan agama.

Memang isu perkauman dan keagamaan tidak asing dalam masyarakat kita. Namun banyak pihak telah cuba meredakan keadaan dengan menggalakkan semangat toleransi.

Sayangnya masih ada puak-puak yang mahu memecahbelahkan perpaduan masyarakat, di mana mereka cuba , izinkan saya ‘inch by inch’ untuk mempengaruhi minda yang cepat emosi.
Tahukah kita semua bahawa Rukunegara ditulis selepas insiden 13 Mei 1969 yang bertujuan mengikat perpaduan rakyat?

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
• Memelihara cara hidup demokratik;
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
• Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Selama 50 tahun Rukunegara ditulis tetapi hari ini ia diserang bertubi-tubi oleh golongan yang semakin tidak mempedulikan nilai dan semangat perpaduan Rukunegara.

Sebagai contoh, dalam masyarakat pelbagai kaum yang bebas beragama, perlukah Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh menuduh kitab Injil telah dipesongkan?

Adakah beliau pakar agama Kristian? Oleh kerana kata-kata penghinaan terhadap agama Kristian itu dilemparkan dalam Dewan Rakyat, Tuan Speaker patut menjalankan tugasnya tanpa takut dengan mengambil tindakan terhadap Nik Muhammad.

Jika tiada tindakan, ia akan menggalakkan lagi sikap memecahbelahkan perpaduan rakyat. Kerana setiap tingkah laku pemimpin negara dan politikus akan dilihat sebagai sesuatu yang ‘boleh dikuti’ atas prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’.

Sewaktu PRK Slim baru-baru ini, terdapat pemuda-pemuda Barisan Nasional yang melaungkan kata-kata benci dan hasutan terhadap parti-parti politik pembangkang.

Mengkritik adalah kebebasan bersuara tetapi menggunakan kata-kata kesat, lucah dan kotor akan menggalakan generasi muda menjadi kurang ajar dan tidak akan lagi menghormati budaya pelbagai kaum di negara kita.

Inikah cara kepimpinan kerajaan hari ini mahu memupuk perpaduan?

Dalam masa 22 bulan sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan di mana saya turut berserta dalam segala urusan Kerajaan Negeri Perak, saya dan rakan-rakan dalam parti tidak pernah sekalipun menggunakan agama ataupun menyebut atau mendakwah agama saya. Kami menghormati semua agama termasuk Islam sebagai agama rasmi.

Cukuplah. 63 tahun kita sudah wujud sebagai negara merdeka, kita sepatutnya bersikap toleran dan juga sederhana supaya dapat maju bersama.

Agama adalah amalan seseorang individu, dan tidak harus dipaksakan kepada masyarakat secara umum. Apatah lagi jika menghina mana-mana agama.

Saya yakin Nik Muhammad tidak mewakili semua umat Islam di Malaysia kerana saya juga mempunyai ramai kawan yang sama-sama tahu erti persahabatan serta faham antara satu sama lain dalam menghormati agama masing-masing.

Sekiranya Kerajaan Muafakat Nasional/Perikatan Nasional ataupun Barisan Nasional yang kerap bertukar wajah serius mahu menangani isu perkauman dan perhinaan agama, maka tibalah masanya untuk mengambil tindakan yang keras terhadap unsur-unsur pembencian dan penghinaan agama, tak kira mana satu pun agama yang dihina.

Jika seorang penghina agama dibiarkan menghina agama lain, maka ia bakal mewujudkan, dengan izin, ‘open season’ di mana kebencian boleh menjadi norma baharu jika tidak disekat sekarang.

Cegah sebelum parah!

Salam Merdeka dan Hari Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan