Oleh Nor Miswary Ramli
Selepas kita semua menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63, kita
harus bertanya jauh ke dalam hati kita – sejauh manakah kita mampu
bertolak-ansur dengan perbezaan?
Adakah gambar rakan berbilang bangsa yang melimpah di sosial media
menjadi kayu pengukur yang kita telah menerima dengan hati terbuka
antara satu bangsa dengan bangsa yang lain tanpa prejudis dan prasangka?
Jujurnya saya tidak tahu. Saya hanya mampu berharap dan saban tahun
ketika melihat percikan bunga api tahun baharu, saya terus berharap.
Tapi tahun ini bunga api tidak ada untuk dilihat dari beranda rumah saya.
Kita harus belajar untuk hidup bersama semula
Kepelbagaian menjadikan kita unik – sekurang-kurangnya itulah yang selalu kita laungkan.
Namun tidak semua yang benar-benar merasai apakah kepelbagaian itu. Ini kerana kita masih hidup berasingan.
Entah-entah kita tidak pun mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh rakan
berbangsa lain untuk ‘mengopi’ di mamak atau untuk bermain bola sepak.
Kita mungkin hanya mempunyai kenalan seorang dua berbangsa Cina dari
kedai perkakasan atau dari bengkel kereta atau seorang dua orang Melayu
yang biasa kita tapau nasi lemak sambal sotong.
Itupun silap-silap bukan orang tempatan. Rakan berbangsa India? Tepuk
dada, tanyalah selera. Kita harus belajar hidup bersama sebagaimana
kita hidup bersama semasa kita kecil.
Hanya dengan mengenali antara satu sama lain, saling tegur-menegur
serta bergaul dan hidup bersama, maka prasangka dan prejudis akan
hilang.
Bukan dengan cara menghapuskan sekolah vernakular. Idea
menghapuskannya pun hanya datang dari jenis politik yang berpusat kepada
isu bangsa semata-mata dan ianya selalu datang dari pemimpin yang takut
dengan bayang-bayang yang tidak pernah ada!
Bagaimana caranya? Begini, mula-mula kita perlu pelbagaikan rakan-rakan anda di luar kelompok bangsa dan agama sendiri.
Misalnya menyertai parti DAP (sekadar contoh) – yang di dalamnya ada
pelbagai bangsa, etnik dan agama. Kita boleh belajar untuk hidup bersama
semula.
Sebagaimana sukarnya kita menghapuskan wabak Covid-19, kini kita di ajar untuk hidup ‘bersamanya’.
Menyesuaikan diri dengan norma baharu yang leceh dan menyusahkan,
tetapi dengan mengenalinya dan kemudian saling menyesuaikan diri, kita
akhirnya mampu untuk hidup bersama.
Tanpa perlu dibuat-buat atau terpaksa berpura-pura. Inilah caranya
kita mencantum-cantumkan kepelbagaian menjadi satu kekuatan di atas
kanvas dengan rata dan sekata.
Ketika sedikit jangan dipecah-pecahkan, ketika ramai, janganlah dilupakan
Hari ini populasi rakyat Malaysia keseluruhannya berjumlah 32.7 juta.
Dengan jangkaan peningkatan sebanyak 50% jumlah pengundi kepada 22.7
juta menjelang tahun 2023 berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi
daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang
lalu, keadaan ini akan membuka ruang kepada golongan muda terlibat untuk mencorak kepemimpinan negara.
Namun, dengan pergelutan dan turun naik suhu politik dalam parti
gabungan kerajaan, pakatan pembangkang juga disaran untuk berhati-hati
dan menjadi lebih dinamik agar segera mengadaptasi perubahan yang
berlaku di sekeliling.
Kita tidak lagi boleh menerima perseteruan baharu, sedang yang lama pun belum kita selesaikan.
Maka, jika ada segelintir yang berhajat menongkah arus politik lama
dengan membawa politik baharu seperti menubuhkan sebuah gerakan atau
sebuah parti anak muda misalnya – kalaupun kita tidak bersetuju akannya,
namun saya kira, kita wajar mengalu-alukannya.
Kita yang sedikit ini janganlah dipecah-pecahkan lagi. Tetapi dalam
masa yang sama, saya juga khuatir jika kita kesampingkan mereka yang
lama di dalam parti, yang setia dan berjasa tanpa menuntut apa-apa.
Mereka yang ramai ini, janganlah kita lupakan, jangan kita pecah-pecahkan.
Kita tidak boleh melawan berseorangan
Dari sudut dinamika sesebuah parti politik pula, kita tidak wajar
memecah-bahagi kita-kita yang sedikit ini kepada beberapa kumpulan yang
lebih kecil.
Saya kira ia adalah tindakan yang tidak tepat. Tak kiralah samada
dalam bentuk pertubuhan atau apa-apa nama gerakan sekalipun, ianya
dilihat cubaan membina kelompok yang akhirnya membina tembok kepada
kelompok yang lain.
Kita perlu berusaha menyatukan semua segmen yang ada di dalam parti dan menjadikannya lebih kuat dan sukar digugat.
Halus batang lidi jika dikumpul-kumpul serta diikat kemas dan ketat, boleh
menjadi
batang kayu keras memukul guni padi. Kita tidak boleh melawan
berseorangan. Ianya akan menjadi perlawanan yang merugikan.
Biar bergemuruh sampai ke langit memuji kesanggupan kita, namun ia tetap menjadi sesuatu yang sia-sia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan