'Tak perlu kaitkan Khairuddin dengan kisah hud-hud Nabi Sulaiman'

Pemimpin PAS diminta berhenti mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib Covid-19 dengan mengaitkan kisah burung hud-hud di zaman Nabi Sulaiman.

Pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle, berkata, Khairuddin sememangnya bersalah dan telah dikompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Sudahlah, cukup-cukuplah nak wajarkan kesalahan menteri tidak ikut SOP untuk kuarantin. Dia pun telah dikompaun oleh KKM.

"Tidak perlu nak kaitkan kisah dia dengan kisah Hud-Hud di zaman Nabi Sulaiman.

"Jika beliau tidak salah masakan beliau dikompaun. Menteri itu telah pun bertanggungjawab memulangkan sebahagian dari gajinya," kata Rozaimi dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyifatkan kisah Khairuddin umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Kisah berkenaan menceritakan bagaimana burung hud-hud tidak mengikut arahan Nabi Sulaiman untuk mencari sumber air.
Hud-hud berkata kepada Nabi Sulaiman bahawa dia telah terbang untuk melakukan pengintaian dan menemui kerajaan mewah di Saba yang diperintah Ratu Balkis.
Nabi Sulaiman lalu mengampunkan hud-hud dan mengarahkannya terbang ke istana Ratu Balkis untuk menyampaikan surat dan memintanya tunduk kepada keesaan Allah.
Dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama PAS Perak itu, Hashim memetik kisah dalam Surah An-Naml itu dengan mengatakan keingkaran burung hud-hud itu menyebabkan Ratu Balkis dan rakyatnya memeluk Islam.

Khairuddin pada Jumaat lalu hadir memberi keterangan bersama beberapa orang saksi di Bukit Aman bagi kesalahan itu.

KKM dalam satu kenyataan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut pada 7 Ogos.

Khairuddin pulang dari Turki dan tiba di Malaysia pada 7 Julai.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan ke atas menteri tersebut.

Muhyiddin menegaskan tiada seorang pun yang boleh mengatasi undang-undang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan