Hilang pekerjaan, masalah hubungan antara krisis utama sepanjang Covid-19


PETALING JAYA: Hilang pekerjaan, tiada pendapatan dan masalah hubungan sosial antara krisis utama memerlukan sokongan emosi perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) ditubuhkan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, faktor sosial yang menyebabkan tekanan, kemurungan dan marah itu mewakili 50% daripada 36,269 panggilan diterima sejak 25 Mac hingga 19 Oktober lalu.

Selain itu, talian yang diwujudkan bersama agensi lain antaranya Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (KSK Jakim), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati orang ramai membuat panggilan untuk menyatakan kebimbangan terhadap Covid-19 (14.7%) diikuti keganasan rumah tangga (8.8%) dan bantuan kewangan/keperluan asas (6.8%).

Justeru, Noor Hisham berkata menyedari situasi semasa Covid-19 di Sabah, KKM mengambil tindakan mempertingkatkan liputan MHPSS khas untuk warga Sabah terutama bagi mereka yang memerlukan sokongan dalam keadaan krisis.

“Talian ini boleh diakses melalui nombor 088 338088 untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota barisan hadapan di lapangan bagi mengenal pasti mereka yang mula mengalami kelesuan minda serta membantu dari aspek kesihatan mental.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan