Lawan Covid-19: Rakyat mahu lihat usaha bersama tanpa kira kepentingan politik


Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang menimbulkan tanda tanya apabila ia dibuat tanpa persetujuan dan rundingan dengan kerajaan negeri Selangor.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kebiasaannya PKPB mula dilaksanakan ke atas kawasan dan daerah yang membabitkan jumlah kes meningkat dengan mendadak sebelum dikuatkuasakan di seluruh negeri seperti yang berlaku di Sabah.

“Sungguhpun PKPB terbaru ini akan mempunyai impak negatif terhadap ekonomi bukan sahaja di peringkat negeri malah di seluruh negara, rakyat sedia berkorban sekiranya keputusan dan pelaksanaan dilakukan secara berpada, dengan pematuhan penuh SOP Covid-19 tanpa kira darjat dan tidak wujud dwistandard atau antara dua darjat di kalangan menteri.

“Sama ada keadaan dan syarat ini dipenuhi perlu diperjelaskan agar pelaksanaan PKPB dilihat semata-mata demi kepentingan awam untuk menjaga keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kegagalan berunding dengan negeri Selangor dan juga negeri-negeri Pakatan Harapan sebelum ini, katanya, menunjukkan kerajaan PN gagal menjalankan tugas menyatupadukan rakyat untuk mengatasi gelombang baru Covid-19.

“Rakyat mahu melihat usaha bersungguh-sungguh secara bersama tanpa kira kepentingan politik untuk melawan Covid-19,” tambahnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan PKPB dikenakan semula ke atas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Bagaimanapun perintah tersebut tidak dibincangkan dengan kerajaan negeri Selangor yang ternyata terkejut dengan keputusan itu.

Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, hanya beberapa daerah di Lembah Klang yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang membimbangkan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan