PRK Batu Sapi 5 Disember
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) P185 Parlimen Batu Sapi susulan penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan.
Menurutnya, urusan bagi permohonan undi pos luar dan dalam negara dibuka pada 13 Oktober.
"Tarikh tutup borang 1A bagi petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan petugas media pada 19 November manakala tarikh tutup borang 1B adalah 12 November," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi ditetapkan di auditorium Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan manakala pusat Pengiraan Undi Awal dan Undi Pos diadakan di Dewan Jati, Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan.
Abdul Ghani berkata, Timbalan Presiden I, Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK Batu Sapi dan dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus.
Terdahulu katanya, SPR menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas Ahli Parlimen Batu Sapi, Vui Keong meninggal dunia 2 Oktober lalu.
"Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan menetapkan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan bagi mengisi kekosongan itu," katanya.
Berdasarkan Daftar Pemilih Terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan yang dikemaskini sehingga 6 Oktober, seramai 32,962 pengundi di parlimen itu yang terdiri daripada 31,152 pengundi biasa, 672 tentera dan pasangan, 1,138 polis serta pasangannya.
Semakan daftar pemilih boleh dibuat mulai 2 November depan.
0 comments:
Catat Ulasan