Lebih 10 artis dalam senarai SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih 10 artis dan selebriti terkenal tanah air dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian.

Menurut sumber SPRM, selebriti pelbagai bidang termasuklah lakonan, pengacaraan dan nyanyian itu berada dalam senarai dikaitkan dengan skandal cuci duit itu.

“Kebanyakan yang dalam senarai ini memang dikenali ramai dan mempunyai ramai pengikut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, SPRM sebelum ini memberi peluang kepada mereka untuk tampil secara sukarela tetapi tiada seorangpun yang berbuat demikian menyebabkan agensi antirasuah itu akan memanggil mereka secara rasmi.

“Mereka akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis atau selebriti tampil memberi keterangan secara sukarela.

“Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan bagi mengelakkan mereka ditahan. 

Sehingga kini, SPRM sudah menahan 20 individu termasuk dua wanita dipercayai berperanan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

Polis juga membuat tangkapan semula ke atas tiga suspek utama kes mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 selama 21 hari mulai 14 October hingga 3 November depan.

Manakala, seorang ahli perniagaan yang melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan SPRM sedang diburu polis.

Suspek berusia 32 tahun itu didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri palsu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar bangunan SPRM di Putrajaya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan