Kumpulan Mahasiswa Harapan menuntut kerajaan mempercepatkan inisiatif pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021.
Selain itu katanya, kerajaan juga sebelum ini mengumumkan pemberian RM100 kepada mahasiswa melalui program e-belia yang akan dikreditkan melalui sistem e-wallet.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahasiswa Harapan berkata pemberian tersebut sepatutnya diberikan pada Februari lalu tetapi tiada sebarang perkembangan mengenainya sehingga kini.
"Mahasiswa Harapan menuntut agar pihak kerajaan jangan sesekali cuba untuk mencipta alasan bagi melambatkan proses pemberian bantuan yang telah diperuntukkan dan segera memberikan penjelasan mengenai status terkini pemberian bantuan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Selain itu mereka juga kesal apabila mendapat tahu komputer riba tersebut bukan diberi secara percuma, sebaliknya hanyalah pinjaman yang akan dikenakan denda sekiranya berlaku kerosakan.
"Mahasiswa Harapan ingin mempersoalkan apakah justifikasi pihak kerajaan yang tidak memaklumkan secara telus mengenai pemberian komputer riba yang dibuat pihak kerajaan yang tidak memaklumkan secara telus mengenai pemberian komputer riba yang dibuat secara skim pinjaman yang dilengkapi dengan denda RM300 sekiranya berlaku kerosakan.
"Skim ini dilihat sebagai menambahkan lagi liabiliti mahasiswa yang sudah tersepit dengan keadaaan ekonomi semasa," katanya.
Pembentangan Belanjawan 2021 di parlimen sebelum ini memperuntukkan inisiatif pemberian 150,000 unit komputer riba yang merupakan hasil sumbangan bersama 13 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah “Inisiatif CERDIK.”
Peranti ini bagi membantu pelajar yang memerlukan untuk mengatasi keperluan pembelajaran atas talian yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Menurut laman web "Inisiatif CERDIK”, hanya pelajar dari sekolah terpilih di Kedah, Lembah Klang, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang akan mendapat manfaat tersebut.
Sebelum ini, laman web “Inisiatif CERDIK” melalui bahagian FAQ memaklumkan mengenai denda RM300 bagi mereka yang merosakkan komputer riba yang dipinjam.
Namun, bahagian itu dikemas kini dan kini ia menyatakan "pembayaran minimum" dikenakan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan peranti.
"Bayaran minimum akan dikenakan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan. Ini adalah untuk mendorong penggunaan peranti yang betul,” menurut laman itu.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik skim itu kerana skopnya yang terhad.
Najib berkata ketika pentadbirannya sebelum ini, sebanyak 1.7 juta komputer riba telah diberikan kepada pelajar.
0 comments:
Catat Ulasan