BANGKOK: Penunjuk perasaan anti-kerajaan kembali turun ke jalanan pada Sabtu sekali gus mengingkari perintah baharu yang melarang perhimpunan awam di Bangkok dan wilayah berhampiran.
Mereka berkumpul di tiga lokasi pada sebelah petang dan mengulangi tuntutan agar perubahan politik dilakukan termasuk pengunduran Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan serta reformasi monarki.
Selain itu, mereka menggesa pihak berkuasa berkaitan membebaskan empat pemimpin tunjuk perasaan yang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan negara itu, yang turut dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lepas serta pemansuhan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Pengumuman baharu yang melarang perhimpunan awam itu disiarkan dalam Warta Diraja pada Jumaat dengan menamakan enam wilayah iaitu Bangkok, Samut Prakan, Samut Songkhram, Nonthaburi, Nakhon Pathom dan Pathum Thani.
Mereka yang melanggar perintah itu berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda 40,000 baht.
Menurut Bangkok Post, Komander Ibu Pejabat Angkatan Bersenjata Diraja Thailand yang ditugaskan menangani kecemasan berkaitan keselamatan Jeneral Charlempol Srisawat telah mengeluarkan perintah itu bagi mengekang penularan Covid-19.
Sementara itu, tunjuk perasaan di Mahkamah Jenayah di Jalan Ratchadapisek berakhir pada kira-kira 9 malam (waktu tempatan).
Bagaimanapun, tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku.
Ahad lepas, tunjuk perasaan di luar berek tentera di mana terletaknya kediaman Prayuth di Bangkok bertukar ganas apabila polis melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Sejumlah 33 orang termasuk anggota polis cedera dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan itu manakala 22 individu ditahan susulan insiden tersebut.
0 comments:
Catat Ulasan