Mesyuarat MKT penentu 'hidup mati' UMNO
SHAH ALAM - Selain hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN), mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijangka berlangsung pada 25 April ini turut dijangka menjadi penentu hala tuju masa hadapan parti terbesar Melayu itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Meskipun desas-desus tersebar ketika ini bahawa mesyuarat MKT kali pertama diadakan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 itu bakal menentukan hayat kerajaan PN.
Tumpuan juga terarah sama ada proses pemilihan UMNO yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Jun hadapan akan diteruskan atau tangguh.
Sinar Harian difahamkan terdapat dua kem yang cuba mempengaruhi keputusan MKT untuk menangguhkan pemilihan UMNO sehingga tempoh maksimum 18 bulan.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi kem, dipercayai terdiri pemimpin-pemimpin UMNO berjawatan dalam kerajaan PN, sedang giat meraih sokongan majoriti ahli MKT bagi menggesa pemilihan parti tetap diadakan mengikut jadual.
Mengulas perkara itu, pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim percaya MKT bakal membuat keputusan terbaik berasaskan suara majoriti ahli dan bukannya sekadar mengikut kehendak pucuk kepimpinan parti.
"MKT boleh buat keputusan terbaik. Apabila ada dalam jemaah, kena ambil keputusan, kalau keputusan MKT kata tangguh, jadi kena ikut majoriti kata tangguh.
"Kalau keputusan MKT kata buat (pemilihan), memang kena buat sebab ikut suara majoriti, bukan ikut suara Presiden," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media mendedahkan terdapat desas-desus UMNO bakal menarik balik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN melalui satu mesyuarat MKT yang dijangka diadakan pada 25 April ini.
Sekiranya usul menarik balik sokongan daripada kerajaan PN dimuktamadkan, hayat kerajaan PN secara automatiknya bakal terbubar kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen UMNO dan BN yang masih memberikan sokongan adalah berjumlah 38 orang.
Mengenai persoalan sama ada UMNO dijangka mewujudkan jajaran politik baharu dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun idea itu ditolak pada PAU 2020, Aznel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu mengakui dalam dunia politik segala kemungkinan boleh berlaku.
Jelasnya, jika sebelum ini politik berpegang kepada asas perjuangan, namun situasi itu pada masa ini seolah-olah melihat keutamaan kepada siapa yang memerintah dan siapa akan menjadi ketua atau pemimpin.
"Namun, katanya, tidak mustahil UMNO atau Barisan Nasional (BN) boleh juga akan bersama PH untuk membentuk kerajaan kerana kekuatan UMNO biarpun sebuah parti paling kuat tetapi masih tidak mencukupi membentuk kerajaan.
"Jadi parti-parti yang ada dalam negara kita ini akan mencari jalan untuk mencukupkan bagi membentuk kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, pandangan berbeza pula dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat.
ADUN Alor Pongsu itu sebaliknya berpendapat sebaik-baiknya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini kerana rakyat sebenarnya sudah membuat keputusan untuk kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Sebenarnya apabila kerajaan PH runtuh, rakyat sudah buat keputusan untuk balik kepada BN.
"Justeru, dengan buat keputusan penarikan sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN, kerajaan secara automatik sudah terbubar dan sebaik-baiknya PRU boleh diadakan pada tahun ini," katanya.
Sham turut menjelaskan UMNO tiada masalah untuk menghadapi PRU sebagai sebuah parti pembangkang, mengambil kira kehendak rakyat sudah nekad mahukan BN kembali menjadi kerajaan.
"Memang UMNO dan BN tidak boleh bentuk kerajaan kalau kita bersendirian kerana parti mungkin akan menang sekurang-kurangnya 70 hingga 80 kerusi Parlimen pada PRU15.
"Namun, jumlah itu sekurang-kurangnya menjamin UMNO menjadi parti dominan untuk membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain yang 'ikhlas' untuk bersama," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134596/BERITA/Politik/Mesyuarat-MKT-penentu-hidup-mati-UMNO
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
0 comments:
Catat Ulasan