Agong hanya akan ikut nasihat Kabinet jika selari dengan Perlembagaan


 

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin diingatkan untuk tidak memperkecilkan peranan Yang di-Pertuan Agong dan berhenti mengheret baginda ke dalam krisis perlembagaan.

Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kenyataan Mahiaddin pada semalam jelas merupakan cubaan merendah-rendahkan Agong apabila menyebut bahawa Tuanku Agong tertakluk sepenuhnya untuk mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Sebaliknya Wan Anwar berkata, pendirian Pejabat Perdana Menteri itu adalah jelas tersasar sama sekali dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa di bawah prinsip Perlembagaan, Tuanku Agong hanya akan mengikut nasihat Jemaah Menteri hanya apabila nasihat yang diberikan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

“Saya melihat Tuanku Agong faham benar akan peranan baginda di bawah Perlembagaan berbanding Jemaah Menteri yang keliru dengan tafsiran mereka sendiri.

“Saya seterusnya mengingatkan Perdana Menteri, jangan memperkecilkan Tuanku Agong. Saya bersedih apabila menyaksikan institusi Raja-raja Melayu terus direndah-rendahkan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu berkata, mustahil jika Agong sebagai Ketua Negara yang menjalankan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan langsung tidak memahami apa yang telah dihasratkan supaya kesemua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan.

Pada semalam, kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan pada 23 Julai telah pun mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya Ordinan-ordinan Darurat dibatalkan dan memohon limpahan perkenan baginda mengenainya.

Perdana Menteri juga dijelaskan telah menghadap Agong pada 27 Julai dan sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

Kenyataan itu juga menyebut, Agong sedia maklum bahawa baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun pada semalam, Agong menzahirkan dukacita kerana pembatalan Ordinan Darurat yang dimasyurkannya di bawah pengisytiharan darurat, telah dibatalkan tanpa perkenan baginda.

Baginda Agong juga bertitah bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan Dewan

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen, sebagai gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Kenyataan kedua-dua dari istana dan Pejabat Perdana Menteri menunjukkan bahawa Agong masih belum memberi perkenan pembatalan ordinan yang dinasihatkan Jemaah Menteri.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan