AMANAH seluruh negara lapor polis isu penderhakaan menteri terhadap Agong

 


AMANAH seluruh negara hari ini akan membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kenyataan Istana Negara pada semalam yang mengesahkan Ahli Parlimen Kota Bharu itu telah bertindak mengelirukan Dewan.

Ini susulan pengumuman menteri Pas itu pada 26 Julai lalu yang mendakwa enam Ordinan Darurat telah dibatalkan berkuakuasa 21 Julai sekaligus menyebabkan ianya tidak dapat dibahas di Parlimen.

Naib Pengerusi AMANAH Wilayah, Ahmad Zamri Khuzaimi berkata, Takiyuddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bertindak membohongi rakyat dan laporan turut dibuat terhadap tiga lagi individu di dalam kerajaan.

Selain Takiyuddin, laporan polis turut dibuat terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

“Mereka telah membohongi seluruh rakyat Malaysia. Maka hari ini, kami buat laporan polis serentak seluruh negara terhadap empat individu yang bertanggungjawab iaitu Takiyuddin, Perdana Menteri, Idrus Harun dan Azhar Harun.

“Dalam laporan, kita katakan mereka telah lakukan satu bentuk mengganggu gugat proses demokrasi, melanggar Perlembagaan Persekutuan dan derhaka kepada titah Agong.

“Merujuk artikel perkara 40, kita ingin menegaskan bahawa institusi Raja-raja Melayu dan Agong bukan ‘rubber stamp’ yang perlu ikut kehendak dan arahan Kabinet walaupun ada nyatakan keperluan ikut nasihat di bawah perlembagaan.

“Tetapi Agong berhak selaku ketua negara memberi teguran dan pandangan. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menganggap atau mengandaikan bahawa apa sahaja urusan Kabinet perlu dipersetujui oleh Agong,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Dalam perkembangan sama, AMANAH Puchong juga selesai membuat laporan polis di IPD Serdang Selangor tengahari tadi, yang diketuai Ahli Jawatankuasa AMANAH Puchong, Abbas Azmi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan