Wanita terpaksa ‘bayar harga mahal’ selepas dedah MB Kedah pandu uji

 


GEORGE TOWN: Seorang wanita menyangka dia cuma melaksanakan tanggungjawab sivik ketika melaporkan kejadian membabitkan Menteri Besar Kedah yang memandu uji sebuah pikap berharga RM211,000 di Juru baru-baru ini.

Namun Nini Siron, 36, tidak sedar akibat yang menanti susulan tindakannya itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan bulan lalu.

Sejak kejadian itu, surirumah yang mengendalikan akaun Facebook milik suami dengan menjual kereta Honda, barangan perabot serta minyak wangi, mendakwa mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

Biarpun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor akhirnya dikenakan denda akibat kesalahan dilakukan lima minggu lalu itu, namun Nini percaya dia dan keluarga terpaksa menanggung akibat.

Wanita itu menerima serangan daripada penyokong menteri besar itu yang berkongsi gambar keluarganya di Facebook hingga memaksanya menutup sementara akaun termasuk akaun perniagaan yang menjadi sumber pendapatan ketika PKP.

Nini menguruskan akaun Facebook jualan kereta milik suami yang berusia 43 tahun ketika bilik pameran kereta belum dibenarkan beroperasi.

Mereka berjaya menjual sekurang-kurangnya 10 kereta sejak PKP tahun lalu menerusi Facebook dan memperoleh komisen sebagai sumber pendapatan.

Nombor telefon mereka turut dipamerkan di akaun berkenaan.

Bagaimanapun, sejak akaun ditutup sementara, mereka langsung tidak dapat melakukan jualan dan terpaksa menggunakan segala wang simpanan yang ada untuk kelangsungan hidup.

Nini berkata, walaupun keadaan kembali reda untuk membuka semula akaun Facebook itu tetapi dia bimbang diserang sekali lagi menerusi hantaran mesej sehingga menyebabkan bakal pelanggannya lari.

“Kami menjual kereta, menyediakan cukai jalan dan pembaharuan insurans. Kami berhubung dengan pelanggan menerusi akaun Facebook ini dan ia menjadi penyelamat ketika PKP.

“Walaupun menteri besar dikenakan denda selepas insiden itu, ramai penyokongnya mengkritik polis. Retorik terbaru yang disebarkan ialah menteri besar sebenarnya tidak memandu uji kereta dan polis membuat kesilapan,” katanya.

Menteri besar menafikan dia memandu kereta itu dan menjelaskan dia hanya membuat perjalanan singkat bersama jurujual kenderaan.

“Bayangkan jika saya membuka kembali akaun dan dibuli serta gambar pelanggan disebarkan secara meluas seperti sebelum ini? Sehingga sekarang, tidak ada perkembangan mengenai aduan yang dibuat mengenai perbuatan buli siber ini,” katanya kepada FMT.

Nini berkata, dia membuat satu lagi laporan di Balai Polis Bukit Mertajam terhadap penyokong menteri besar yang mendedahkan maklumat peribadinya di media sosial.

Namun, polis menasihatkannya membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, dia masih tidak menerima sebarang maklumat sama ada daripada polis atau SKMM berhubung aduan itu selain masih bimbang dengan kehadiran penyokong menteri besar di media sosial.

“Media sosial saya dibanjiri dengan pesanan meminta saya ‘jangan buka aib orang’ dengan mendedahkan kejadian membabitkan menteri besar itu. Saya kata kepada mereka, sebagai menteri besar, anda harus menjaga aib sendiri.

“Niat saya adalah untuk membantu ummah dengan menunjukkan terdapat ‘jembalang’ dalam kalangan kita ketika cuba melawan pandemik Covid-19.

“Saya tertanya-tanya mengapa suami terpaksa menjual kereta secara dalam talian apabila kereta pikap boleh dipandu uji secara bebas sedangkan bilik pameran masih ditutup?” soalnya.

Baru-baru ini, Bukit Aman mendedahkan notis kompaun sudah dikeluarkan terhadap Sanusi kerana melanggar SOP tetapi jumlahnya masih belum ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sanusi berkata, dia belum menerima notis itu tetapi akan menjelaskan denda dengan segera.

Menjelaskan kejadian pada Jun lalu, Sanusi berkata, ia berlaku “secara kebetulan” ketika melakukan perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur.

Katanya, dia cuma berhenti untuk membeli “roti dan air” di sebuah kedai RM2 di Juru Auto City dan ternampak bilik pameran kereta Ford yang terletak bersebelahan sebelum berbual dengan jurujualnya.

Dia kemudian menerima tawaran jurujual untuk membuat perjalanan singkat dengan kenderaan itu sebelum bergerak ke Kuala Lumpur.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan