Pakatan Harapan (PH) berkata, kadar tol yang dikekalkan di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat itu berakhir melupakan kelangsungan dasar yang dimulakan gabungan terbabit.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini, Majlis Presiden PH berkata apa yang dilakukan kerajaan sekarang merupakan kesinambungan usaha yang dibuat PH pada Okt 2019.
Ketika itu kata mereka, kabinet memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebih raya terbabit.
"Maka apa yang diumumkan (kerajaan semalam) ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya.
"Ini juga membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih daripada 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan," katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius Tangau.
Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya dikekalkan sehingga tempoh konsesi mereka berakhir.
Isu ketelusan perbelanjaan
Katanya langkah tersebut diambil melalui penstrukturan semula bagi mengurangkan beban rakyat dan tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
Kenyataan tersebut tidak menyatakan tempoh konsesi semua syarikat yang terbabit akan tamat.
Empat lebuh raya yang terbabit ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Keempat-empat lebuh raya itu akan diambil alih oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.
Majlis Presiden PH berkata semasa Malaysia ditadbir gabungan terbabit kerajaan memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus pada 2020.
Malah katanya PH telah merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya terbabit.
"Oleh itu, kami menggesa kerajaan memberikan diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya itu, serta memberi penjelasan penuh ke parlimen berhubung hak milik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaannya," kata kenyataan tersebut.
0 comments:
Catat Ulasan