Ringgit terus susut ke paras terendah berbanding dolar AS

 


Ringgit terus menyusut ke paras terendah baru sejak 24 tahun berbanding dolar AS pada pembukaan hari Rabu sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau lain, apabila ramai pelabur beralih ke aset lebih selamat.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.5200/5220 berbanding dolar AS daripada 4.5070/5085 pada penutup semalam.

Ringgit tidak pernah merosot serendah ini sejak Januari 1998.

Berbanding setahun lalu, nilai ringgit susut 9 peratus berbanding dolar AS.

Kebanyakan mata wang di rantau Asia Tenggara telah menyusut nilai berbanding dolar AS sejak akhir-akhir ini selepas beberapa siri kenaikan kadar faedah yang agresif oleh bank pusat AS tahun ini.

Menurut Reuters, kebanyakan penganalisis yang ditinjau menjangkakan bank pusat AS akan menaikkan lagi kadar itu dalam usaha untuk memperlahankan inflasi.

Seiring dengan itu, Bank Negara Malaysia telah bertindak balas dengan menaikkan kadar faedah, sekali gus meningkatkan kos peminjaman.

Sementara itu , Bernama melaporkan ringgit terus merosot kepada paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka pada Rabu, seiring dengan harga minyak yang rendah berikutan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menunjukkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 8.3 peratus berbanding ramalan 8.1 peratus.

“Bacaan yang lebih tinggi ini menyebabkan pelabur tertanya-tanya seberapa besar kenaikan kadar faedah yang boleh dilihat pada mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan datang pada 21 September.

“Sebelum data IHP ini dikeluarkan, pasaran meramalkan kenaikan 0.5 - 0.75. Bagaimanapun, kini banyak pihak telah menaikkan ramalan mereka kepada 0.75-1.0 peratus,” katanya.

Diniz berkata pasaran telah memberikan reaksi kukuh terhadap data itu, menyebabkan berlaku satu lagi kenaikan kukuh dolar AS berbanding mata wang lain.

Beliau berkata harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global merosot sebanyak 0.08 peratus kepada US$93.10 setong.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

Beliau berkata prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2153/2174 berbanding 3.2320/2333 sewaktu ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1282/1301 daripada 3.1690/1703.

Ia turut menokok berbanding pound Britain kepada 5.1989/2012 daripada 5.2768/2786 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5105/5125 daripada 4.5818/5833 sebelum ini.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan