Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun sekali lagi mengundang kontroversi apabila klip video membabitkan kemteriannya yang memaparkan pelakon Rosyam Nor dianggap sebagai memperlekehkan perempuan.
Video yang dikongsi di akaun TikTok Rina menunjukkan Rosyam bercakap secara samseng, dipercayai meniru watak 'Tailong' dalam filem KL Gangster 2, dalam apa yang dilihat sebagai video promosi untuk program keusahawanan kementerian itu.
Walau bagaimanapun, ramai khususnya ahli politik wanita dari kedua-dua pihak baik kerajaan mahupun pembangkang tidak senang dengan dialog Rosyam yang didakwa memperlekehkan wanita. Dalam klip tersebut, Rosyam berkata wanita "sentiasa bangun lambat" dan bahawa "aku nak belasah kepala korang", dengan Rina yang tersenyum melihat gelagat pelakon itu.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam satu kenyataan membidas video itu yang menurutnya sebagai publisiti murahan yang memalukan jawatan menteri.
“Kali ini video Rina yang menggunakan kata-kata ‘wanita bangun lambat, perempuan ni/wanita ni semuanya lambat, eh bangkitlah, bangun daripada tidur dan aku nak belasah kepala korang’ begitu menghina kaum wanita.
“Yang paling teruk apabila Rina dan pegawai Yayasan Kebajikan Negara hanya berdiri dan tersengih-sengih semasa kata-kata itu digunakan di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM.
“Tahukah Rina ramai kaum ibu tidur lewat dan bangun sebelum subuh untuk membuat persiapan bagi keluarga mereka? Kaum wanita kerap menjadi mangsa stereotaip dan mangsa keganasan rumahtangga. Bagaimana seorang menteri boleh membenarkan skrip dan video promosi program kementerian yang merendahkan martabat dan mempersendakan kaum wanita?” soalnya.
Yeoh, yang adalah bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika era Pakatan Harapan, turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggugurkan Rina sebagai menteri.
Sentimen beliau turut disuarakan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang memuat naik dalam akaun Instagram mengkritik Rosyam dan Rina.
“Kamu hina wanita tetapi dalam masa yang sama kamu mahu anjurkan program untuk wanita?
"Dan menteri wanita sekadar berdiri di belakang sambil tersengih?," katanya.
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, turut membidas video itu.
Pemimpin Umno itu dalam ciapannya di Twitter pagi ini mencadangkan kepada Rina supaya membuang perkataan 'wanita' daripada nama kementerian.
“YBM, elok @KPWKM ditukar kepada Kementerian Pembangunan Keluarga, buang saja perkataan wanita. Senang kerja.
“Rugi semua usaha kementerian dalam isu menentang keganasan terhadap wanita bagai mencurah air ke daun keladi. Kesian,” ciapnya.
0 comments:
Catat Ulasan