Keputusan PRN Sabah petunjuk baharu, bukan petanda PKR akan lenyap


PUTRAJAYA: Keputusan PRN Sabah bukan petanda PKR akan lenyap sebaliknya peluang untuk memperkukuh strategi dan memahami kecenderungan pengundi di negeri itu, kata Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Beliau berkata, analisis dalaman mendapati pola sokongan di negeri itu menunjukkan rakyat cenderung memilih parti tempatan khususnya dua blok utama iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Katanya, keputusan PRN dijadikan penanda aras penting untuk memperhalusi strategi parti menjelang PRU akan datang.

“Rakyat Sabah mahu parti tempatan, tetapi mereka juga mahu parti tempatan yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan. Sebab itu mereka (pengundi) memilih GRS,” katanya dalam temu bual FMT.

Pada PRN Sabah 29 Nov lalu, Pakatan Harapan (PH) bertanding 22 daripada 73 kerusi dan hanya menang satu DUN iaitu Melalap yang diwakili calon PKR, manakala DAP kalah semua lapan kerusi ditandinginya.

GRS yang menang 29 kerusi membentuk kerajaan negeri dengan sokongan PH, Barisan Nasional, Upko, dan lima calon bebas.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata PKR mengakui sentimen itu sebagai realiti politik Sabah dan ia tidak melemahkan kedudukan parti secara keseluruhan.

Katanya, PKR juga sedia menilai semula pendekatan di peringkat negeri termasuk kerjasama dengan kerajaan Sabah bagi memastikan kehadiran parti itu lebih relevan dengan dinamika tempatan.

Pada masa sama, beliau berkata trend di Semenanjung kekal berbeza dan lebih positif berdasarkan data terkini beberapa tinjauan yang menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Dalam tinjauan terbaru, sokongan terhadap PM meningkat sekitar 5% hujung tahun lalu dan kini mencapai 73%. Prestasi kerajaan juga berada pada tahap tinggi,” katanya.

Fuziah berkata, cabaran seterusnya adalah menterjemahkan tahap keyakinan rakyat terhadap Anwar dan kerajaan kepada undi pada pilihan raya akan datang.

“Tentu sekali kita sebagai parti politik tidak boleh berdiam diri. Bagaimana kita terjemahkan ‘approval’ itu kepada undi. Itu gerak kerja yang sedang kita lakukan,” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan