Nasihat saya berdisiplinlah jika berbicara tentang hadis

Oleh Dr Rozaimi Ramle

Saya ingat pegawai khas kepada Menteri Agama ini akan diam bila kata dia tidak mahu lagi menjawab. Tapi nampaknya sewaktu dia menyatakan dia tidak menjawab pun dia sebenarnya menjawab. Oleh kerana beliau menulis tentang disiplin ilmu hadis dan beliau pula adalah pegawai khas kepada Menteri Agama maka saya terpaksa menulis untuk menegur beliau. Bimbang saya jika pemikiran tidak betul ini akan dibawa dalam polisi agama dalam kerajaan.
Oleh kerana tulisan beliau ditulis dan disebarkan kepada umum maka saya juga memilih untuk menjawabnya secara umum.

Ada beberapa isu utama yang saya ingin jawab pada tulisan beliau yang terbaru berkaitan isu status hadis. Berikut saya huraikan:

1. Perbahasan ilmu ini adalah untuk mencari kebenaran bukan mencari kemenangan apatah lagi nak menunjukkan kehebatan. Sikap seorang mukmin ialah sentiasa mendengar kata-kata dan mengikuti yang terbaik. Oleh itu, Imam al-Syafie pernah berpesan:
ما كلَّمت أحداً قطُّ إلا أحببت أن يوفَّق ويسدد ويعان , ويكون عليه رعاية من الله وحفظ , وما كلمت أحداً قطُّ إلا ولم أبال بيَّن الله الحقَّ على لساني أو لسانِه
Maksudnya: aku tidak pernah berkata-kata dengan seseorang melainkan aku suka supaya dia diberi taufiq, kebenaran dan dibantu. (Aku harapkan) dia mendapat perlindungan dari Allah dan pemeliharaan. Aku tidak pernah bercakap dengan seseorang melainkan dalam keadaan aku tidak peduli Allah zahirkan kebenaran di atas di atas lidah aku atau lidahnya. (Al-Khatib al-Baghdadi, al-Faqih wa al-Mutafaqqih, jil. 2, hal. 49)

Maka saya perlu jelaskan dari awal lagi. Tujuan saya menulis bukan untuk menunjukkan saya hebat tetapi ilmu hadis ini ialah amanah. Maka saya gagahkan diri menulis.

Pegawai khas ini juga harus tahu perkara ini supaya tidak wajar beliau menghentikan penulisan semata-mata mendengar ada pihak menasihati beliau agar sedar beliau tidak akan menang. Dengari nasihat Al-Khatib al-Baghdadi (meninggal 463H) ini:

وليكن قصده في مناظرته إيضاح الحق وتثبيته دون المغالبة للخَصْم
Maksudnya: hendaklah tujuannya ketika berbahas (berdebat) menjelaskan kebenaran dan mengukuhkannya bukannya untuk mengalahkan musuhnya (orang yang berbeza dengannya). (Al-Khatib al-Baghdadi, al-Faqih wa al-Mutafaqqih, jil. 2, hal. 48)

Alangkah baiknya jika kita mengetahui kesalahan diri dan memperbaikinya.

2. Jelas dalam tulisan beliau sewaktu membantah saya beliau tidak membawakan apa-apa hujah. Beliau hanya membawakan nama kitab dan nama ulama yang membawakan kisah ini. Jika ada ulama silam yang mensahihkan ia adalah Ibn al-Qayyim seorang tanpa menyatakan alasan kenapa ia sahih sedangkan sanad hadis ini terputus. Tidak ada hujah langsung pegawai khas ini sertakan untuk membuktikan bahawa syarat hadis sahih yang lima antaranya ialah sanad bersambung telah mencukupi.

Ini membuktikan bahawa pegawai ini hanya bertaqlid dengan Ibn al-Qayyim tanpa tahu alasan dan bukti. Tetapi apa menariknya ialah beliau berani menulis membantah orang lain siap dengan mengatakan hujah beliau ada tersimpan dalam poket. Sedangkan apabila beliau menulis maka sebenarnya tiada hujah dan tiada bukti disertakan.

Manakala Ibn Kathir walaupun beliau membawakan kisah ini dalam tafsirnya beliau tidak mensahihkannya. Jangan membuat kaedah keberadaan sesebuah riwayat dalam kitab selain Sahih al-Bukhari dan Muslim sebagai sahih. Ini menyalahi kaedah hadis.

3. Beliau membangkitkan isu bersangka baik. Saya tidak nafikan kepentingan bersangka baik dengan ulama. Tetapi sangka baik semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk mensahihkan sesuatu yang belum sahih dan membetulkan sesuatu yang salah. Sebab itu saya nasihat pegawai khas ini untuk mendalami kitab-kitab ilmu hadis sebelum nak menulis tentang hadis.

Pegawai khas ini perlu merenung kata-kata seorang ulama ulama hadis kurun kedua hijrah yang bernama Ibn Mahdi (meninggal 198H):

خصلتان لا يستقيم فيهما حسن الظن الحكم والحديث
Maksudnya: dua perkara yang tidak boleh bersangka baik iaitu hukum (kes mahkamah) dan hadis. (Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta'dil, jil. 2, hal. 35)

Maksudnya jika terbukti sesebuah tidak cukup syarat hadis sahih yang lima maka sangka baik tidak akan diterima sebagai alasan untuk menilainya sebagai sahih.

Ilmu riwayat bukan seperti ilmu lain. Setiap kata-kata yang ingin disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam mestilah berbukti kerana ia adalah sumber agama. Renungilah kata-kata ulama hadis bernama al-Hakim (meninggal 405H):

الحجة في هذا العلم عندنا الحفظ والفهم والمعرفة لا غير
Maksudnya: Hujah bagi ilmu ini (ilmu penilaian hadis) di sisi kami ialah hafazan, kefahaman dan pengetahuan. Tidak ada yang lain. (Al-Hakim, Ma'rifat 'Ulum al-Hadith, hal. 174)

Satu persoalan perlu ditanya kepada pegawai khas ini ialah jika beliau bersangka baik dengan Ibn al-Qayyim lalu menerima kesahihan hadis ini, mengapa tidak beliau bersangka baik dengan Ibn Rejab al-Hanbali lalu menerima penilaian beliau mendaifkan hadis ini? Tambahan pula penilaian Ibn Rejab al-Hanbali disertakan bukti ilmiah.

Jika alasannya ialah ramai yang membawakan kisah ini dalam kitab mereka. Saya jawab:

- tiada siapa setahu saya yang menilainya sebagai sahih selain Ibn al-Qayyim dan ia dinyatakan tanpa bukti.

- keberadaan sesebuah riwayat dalam kitab tidak menjadikannya sahih secara automatik kecuali Sahih al-Bukhari dan Muslim.

- sejak bila pula bilangan ramai menjadi penentu sahih sesebuah riwayat?

Jika sangka baik semata-mata sudah cukup untuk menilai sesebuah riwayat maka kita perlu menerima semua riwayat dalam kitab-kitab Imam al-Bukhari yang berada dalam kitab beliau selain dari kitab Sahih al-Bukhari. Tetapi ia tidak berlaku kerana sangka baik tidak ada kaitan dalam menentukan status hadis
.
4. Pegawai khas ini dalam artikel beliau yang awal ketika membantah saya ada menyebutkan tentang dzan (sangkaan) dan ijtihad sewaktu penilaian hadis. Ia benar namun dzan yang dimaksudkan bukanlah kesemua dzan tetapi ia adalah dzan ghalib (sangkaan yang kuat). Sangkaan yang kuat ini saja yang diterima sebagai hujah untuk diamalkan dalam Islam. (Lihat: al-Razi, al-Mahsul, jil. 2, hal. 311, al-Sakhawi, Fath al-Mughith, jil. 2, hal. 228)

Sangkaan yang kuat ialah sesuatu yang ada bukti dan hujah. Maka saya ingin bertanya beliau, apakah bukti dan hujah beliau memilih pandangan yang mensahihkan hadis ini? Jika jawapannya hanya sangka baik, maka ia bukanlah hujah ilmiah. Ia hanya taqlid semata-mata tanpa mengetahui dalil dan hujah.
Semoga dengan tulisan saya ini saya telah menjelaskan perkara yang sepatutnya saya jelaskan. Nasihat saya berdisiplinlah jika berbicara tentang hadis.


Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan