Kedutaan Amerika akan dipindahkan ke Baitulmaqdis

Oleh Abu Firdaus
Donald Trump sudahpun menjadi presiden. Banyak perkara yang beliau hendak buat. Tengok gayanya beliau akan melaksanakan semua janjinya. Antara janjinya ialah untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sekaligus mengukuhkan pengiktirafan kota itu, sepenuhnya timur dan barat adalah milik Israel.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas membantah hasrat Trump dan menegaskan bahawa ibu negara Palestin ialah Baitulmaqdis Barat. Tetapi Trump telah mengundang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Washington untuk membincangkan pemindahan kedutaan Amerika itu.
Tengok gayanya, Amerika akan berjaya memindahkan kedutaannya itu ke Baitulmaqdis walaupun terdapat bantahan dan amarah dari banyak pihak dunia. Tetapi Trump akan lakukan juga dan beliau akan berjaya. Sesuatu yang Bill Clinton, George W Bush dan Barack Obama tidak dapat lakukan.
Dunia tidak boleh lakukan apa-apa. Mungkin Hamas bertindak atau demonstrasi diadakan di merata-rata tempat tetapi Israel memperolehi apa yang dikehendaki. Perpindahan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Palestin. Ia bermakna keseluruhan Baitulmaqdis menjadi milik Israel. Ia juga bermakna tamatnya penyelesaian dua negara. Israel akan berterusan menguasai Palestin. Hanya ada satu saja negara iaitu Israel.
Namun begitu dua hari selepas Trump angkat sumpah, Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping berkata bahawa Baitulmakdis Timur wajar menjadi ibu negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Nampaknya, China mengingatkan dunia supaya Palestin yang merdeka patut diperjuangkan. Penyelesaian dua negara masih wajar. Israel tidak boleh menjadikan keseluruhan Baitulmaqdissebagai ibu negaranya.
Trump boleh meningkatkan sokongannya terhadap Israel. Tetapi dunia boleh tingkatkan sokongannya pada Palestin. Baitulmaqdis kan terbahagi juga. Baitulmaqdis Barat ibu negara Israel dan Baitulmakdis Timur ibu negara Palestin.
Amerika akan hadapi China mengenai Israel-Palestin. Di bawah Trump, Amerika bukan saja akan menghadap China di Taiwan, Laut China Selatan tetapi juga mengenai Palestin.
Trump mungkin berbaik dengan Presiden Vladimir Putin tetapi dalam hal Israel, Rusia seperti banyak negara di dunia akan memihak pada Palestin. Israel adalah sekutu utama Amerika. Tetapi Mesir, Arab Saudi, Jordan juga adalah sekutu penting Amerika. 
Selama ini Amerika, tidak kira sama ada ketika dipimpin oleh presiden Parti Demokratik atau Parti Republikan bermain dengan kaedah perimbangan bagi menjaga kepentingan kuasa besar itu. Di Timur Tengah, persaingan pengaruh adalah antara Amerika dan Rusia.
Tetapi Trump tengok gayanya tidak mempedulikan kaedah perimbangan ini. Beliau melangkaui sikap Parti Republikan selama ini yang sememangnya pro-Israel untuk lebih daripada itu. Untuk lebih pro-Israel adalah anti-Palestin. Tetapi bukan saja anti-Palestin tetapi juga anti-Arab dan anti-Islam.
Maknanya tonggak dasar luar Trump bukannya pro-Israel dan menjaga kepentingan minyak Timur Tengah tetapi ialah penghapusan ancaman pengganas Islam. Siapakah pengganas Islam? 
Baginya pengganas Islam yang hendak dihapuskan bukan saja Daesh dan Al-Qaeda tetapi boleh meliputi Hamas, Palestin, Ikhwanul Muslimin, Iran dan malah keseluruhan dunia Islam. Beliau seperti mana banyak golongan ekstrem kanan Amerika yang memanggil diri mereka alt right menganggap semua orang Islam sama saja, sama ada pengganas atau tidak, Sunni atau Syiah. Baginya dunia Islam mengancam Amerika dan Barat, termasuk Israel.
Sikap beliau dan golongan yang berfikiran sepertinya bukanlah Islamofobia tetapi anti-Islam dan boleh mengukuhkan hujah pihak golongan ekstremis yang anti-Amerika dan anti-Barat dari kalangan umat Islam.
Kepimpinan Trump setakat ini menyukarkan kerja golongan Islam demokrat yang tidak bersikap anti-Barat. Tidak semua orang Islam yang anti-Barat. Dalam mempertahankan hak seperti memperjuangkan penubuhan negara Palestin bukanlah suatu sikap anti-Barat. Sikap Trump yang anti-Islam tidak perlu dilawan dengan bersikap anti-Barat.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan